SETIAP kali selepas menikmati hidangan tengah hari, anda akan mengalami sakit seperti senak di bahagian perut. Sakit tersebut akan mengganggu tugas harian kerana ia berlarutan sehingga sejam lamanya. Jika Anda mengalami perkara tersebut... Awas!..ia tidak semestinya gastrik. Lakukan pemeriksaan doktor pakar secepat mungkin dan jangan terkejut jika hasil pemeriksaan, terdapat beberapa ketulan batu bersaiz guli terdapat dalam pundi hempedu anda.
Jika anda seorang wanita yang berusia dan mempunyai tubuh yang  agak berisi, kerana risiko untuk menghidapi penyakit batu karang hempedu  agak tinggi untuk anda. 
Menurut Pakar Bedah Am, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr. Nanda Kumar Rajendram,  perubahan hormon dan mendapan kolesterol di bahagian hempedu antara  punca mengapa bilangan wanita menghidap penyakit ini tinggi.
"Penyakit batu karang hempedu ini juga kerap dihadapi oleh wanita  yang mempunyai anak ramai," jelas beliau ketika ditemui di kliniknya  baru-baru ini.
Dr. Nanda Kumar menjelaskan, pundi hempedu menghasilkan hempedu iaitu  sejenis cecair berwarna coklat kehijauan pekat yang mengumpul cecair  lemak, kolestrol dan bahan-bahan kimia lain.
"Apabila seseorang makan, pundi hempedu akan mengembang dan menguncup  serta menyerap kandungan kolesterol, lemak dan minyak daripada makanan  yang dimakan itu. 
"Akan tetapi, apabila cecair hempedu tidak mempunyai bahan kimia yang  seimbang, ia akan membentuk batu keras yang dikenali sebagai batu  karang hempedu. Saiznya pula bergantung, sama ada yang sekecil guli dan  boleh jadi hingga sebesar bola golf. 
"Apabila batu karang telah wujud di dalam hempedu, tiap kali anda  memakan makanan yang mengandungi lemak, minyak serta kolesterol, pundi  hempedu yang mengembang dan menguncup itu akan terasa sakit," terang Dr.  Nanda Kumar lagi.
Beliau berkata, batu karang hempedu ini mungkin telah bertahun-tahun  wujud di dalam hempedu seseorang tanpa disedari. Dan jumlahnya juga  mungkin mencecah puluhan biji.
Faktor-faktor Risiko
Menurut Dr. Nanda Kumar, antara faktor yang menyebabkan risiko  penyakit ini seperti faktor umur, jantina, berat badan dan diet yang  berkalori rendah.
"Di KJMC, kami mendapati kebanyakan pesakit yang mempunyai batu  karang hempedu adalah wanita yang berbadan besar, mempunyai ramai anak  dan berumur 40 tahun ke atas. 
Kebarangkalian individu menghidapi penyakit batu karang hempedu turut meningkat seiring usia," tambahnya.
Simptom-simptom
Menurut Dr. Nanda Kumar, simptom penyakit batu karang hempedu seakan  sama dengan penyakit gastrik. Pesakit akan berasa senak dan kadangkala  sakit di bahagian abdomen. Adakalanya kesakitan itu disertai dengan rasa  mual, angin, kembung perut dan muntah.
"Biasanya rasa sakit tersebut akan menyerang selepas 15 minit seseorang makan makanan yang mengandungi lemak atau kolesterol. 
"Rasa sakit itu pula pada mulanya sedikit dan kemudian senak kronik  pada bahagian kanan perut dari ulu hati. Kesakitan biasanya berlarutan  selama satu hingga dua jam selepas makan," jelasnya.
Diagnosis
Dr. Nanda Kumar memberitahu, disebabkan simptom penyakit ini lebih  kurang sama dengan gastrik, maka pemeriksaan teliti perlu dilakukan. 
Selain itu, disebabkan batu karang hempedu telah wujud sejak  bertahun-tahun lamanya tanpa dapat dikesan oleh empunya tubuh, jadi  ujian ultra bunyi berkomputer perlu dibuat untuk mengesannya.m hempedu  anda.
Pembedahan
Dr. Nanda Kumar menasihatkan pesakit yang telah dikesan mempunyai  penyakit batu karang hempedu untuk membuang pundi hempedu sekali. Ini  kerana, pundi hempedu yang pernah menghasilkan batu akan berpotensi  untuk menghasilkan batu sekali lagi. 
Pundi  hempedu turut dibuang bagi mengelakkan daripada terhasilnya batu sekali lagi. 
Pembedahan yang amat disarankan untuk membuang batu karang hempedu  dinamakan laparoskopik. Caranya dengan menggunakan laparoskop iaitu  sejenis tiub nipis dengan sistem lampu dan kamera video yang kecil.
"Pembedahan yang dinamakan pembedahan minimal invasif ini hanya  melibatkan empat tebukan kecil, dua lubang berdiameter 10 milimeter dan  dua lagi bersaiz 5 milimeter.
"Prosedur mengambil masa selama lebih kurang sejam dan anda kurang  berasa sakit selepas pembedahan, kurang parut dan boleh kembali  melakukan aktiviti seharian hanya dalam beberapa hari," ujarnya.


No comments:
Post a Comment