“DASAR TRANSFORMASI NASIONAL: BAJET MEMBELA RAKYAT, MENSEJAHTERA NEGARA”
      
Tuan Yang di-Pertua, Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang  bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan  Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2012 dan bagi  memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi  kali kedua.  
       
MUQADDIMAHSaya mulakan lafaz ucapan Bajet tahun 2012 ini dengan menyebut kalimah mulia Bismillahirrahmanirrahim.
Tuan Yang di-Pertua,
Seperti berulang-ulang disurat dan disiratkan dalam Al-Quran yang suci  bahawa Allah SWT menyeru kepada kita semua agar menuju sebuah kehidupan  dalam suasana ketenteraman, kemakmuran, kesepaduan dan kesejahteraan  sebagai orang-orang budiman dan berbakti.
Seperti firman-Nya dalam surah Quraish ayat 3 dan 4:
“Maka  hendaklah mereka menyembah Tuhan Pemilik rumah ini yakni Ka’abah, yang  telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan  mengamankan mereka dari ketakutan.”
1. Alhamdulillah, dipanjatkan  sejuta pujian ke hadrat Allah SWT di atas segala nikmat yang  dikurniakan kepada rakyat dan negara Malaysia. Sebagai warganegara yang  menganut pelbagai kepercayaan, kita mempunyai sebab yang bukan sedikit  untuk melahirkan rasa kesyukuran kepada Yang Maha Berkuasa.
2.  Hakikatnya, Malaysia adalah negara yang berjaya. Dalam tempoh yang  singkat, kita telah merubah wajah Malaysia dari sebuah watan pertanian  berpendapatan rendah menjadi negara perindustrian moden berpendapatan  sederhana tinggi. Sesungguhnya, kejayaan ini tidak datang bergolek dan  tidak terhidang di atas dulang emas. Ia hasil ikatan antara Kerajaan dan  rakyat yang telah bersama memecahkan ruyung-ruyung ketidakyakinan dan  dogma dengan bertunjangkan perancangan sistematik dan pelaksanaan  berkesan. Inilah limpahan rahmat kepada negara yang mempunyai kerajaan  bertanggungjawab semenjak merdeka. Kerajaan yang bukan menjanjikan  bulan, bintang ataupun cakerawala singgah ke riba tetapi ini adalah  sebuah kerajaan yang saban hari memikir, mena’kul, merancang dan  melaksanakan dasar serta prakarsa demi kerukunan rakyat dan  kesejahteraan negara.
Tuan Yang di-Pertua,
3. Kisah  kejayaan seumpama ini, bukan satu kelaziman, ia sebenarnya satu  keluarbiasaan. Jika diimbau, terdapat banyak negara di dunia yang  mempunyai lebih banyak potensi untuk berjaya daripada Malaysia di awal  merdeka, namun, mereka telah rebah tersungkur di tengah jalan walaupun  mengendong sarat hasil bumi, malah, tidak terbeban pula oleh faktor  garis rekahan yang berpotensi memusnah, seperti, kemajmukan kompleks,  perbezaan sosioekonomi yang terikat dengan faktor etnik sekalipun  pemisahan fizikal wilayah negara.
4. Jelas termaktub dalam sisir  masa, cerita kejayaan pembangunan Malaysia bukan semata-mata kisah yang  dilakar di bilik-bilik Lembaga Pengarah bangunan-bangunan pencakar  langit. Ia adalah citra yang dinukil pak tani di sawah, nelayan di laut,  peneroka di ladang, penoreh getah di estet, penanam sayur di pinggir  bandar, pekerja industri di kilang-kilang, usahawan-usahawan bertatih di  juang niaga, barisan penjawat awam, guru dan pendidik di bilik-bilik  darjah, para pensyarah di kuliah, anggota keselamatan di medan-medan,  para profesional, budayawan, seniman, pendek kata seluruh rakyat  Malaysia tanpa mengira kaum, kepercayaan, gender mahupun status ekonomi.
5.  Setelah 53 bajet, 10 Rancangan Malaysia, 3 Rangka Rancangan Jangka  Panjang yang masing-masing berpayung di bawah Dasar Ekonomi Baru antara  1971 hingga 1990, Dasar Pembangunan Nasional melewati tempoh-tempoh 1991  sampai tahun 2000 dan Dasar Wawasan Nasional yang merentasi 2001 hingga  2010, hari ini, kita sederap untuk menyambung langkah menuju negara  maju berpendapatan tinggi.
6. Seperti mana semua mengetahui, saya  telah memulakan pentadbiran ini dengan menggariskan falsafah pemandu  1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Kemudian, ia telah  disusuli dengan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dengan 7  NKRA, Program Transformasi Ekonomi (ETP) dengan 12 NKEA, Model Baru  Ekonomi dengan 8 SRI dan baru-baru ini, Program Transformasi Politik  yang akan menyaksikan proses besar islah undang-undang bagi membolehkan  Malaysia menjadi sebuah negara yang moden, progresif sekaligus demokrasi  yang berfungsi. Selain itu, dari masa hingga masa, bagi melengkapkan  segala-galanya, Kerajaan akan memetakan lagi beberapa program  transformasi sektoral. Kemuncaknya, kesemua program dan inisiatif ini  akan berpayung pada Dasar Transformasi Nasional atau DTN yang mula  berlangsung pada tahun 2011 sehinggalah 2020.
Tuan Yang di-Pertua,
7.  Kemasukan pelaburan langsung asing telah kembali rancak dan menunjukkan  trend yang meningkat. Pelaburan langsung asing (FDI) berkembang 6 kali  ganda kepada 29 bilion ringgit pada tahun 2010, mencatat pertumbuhan  yang tertinggi di Asia. Kemasukan FDI terus melonjak kukuh sebanyak 75  peratus kepada 21.2 bilion ringgit dalam tempoh 6 bulan pertama 2011  berbanding 12.1 bilion ringgit bagi tempoh yang sama tahun 2010. Pada  tahun 2012, pelaburan swasta dijangka berkembang kukuh 15.9 peratus  disokong oleh peningkatan kemasukan pelaburan langsung asing dan  domestik.
8. Asas ekonomi negara kekal utuh. Sistem kewangan dan  perbankan negara terus teguh dengan nisbah modal wajaran risiko adalah  14.8 peratus, jauh melebihi paras keperluan 8 peratus dalam piawaian  antarabangsa. Rizab antarabangsa terus kukuh mencatat 414.5 bilion  ringgit pada 15 September 2011, mampu membiayai 9.5 bulan import  tertangguh serta 4.5 kali hutang luar jangka pendek. Pendapatan per  kapita dianggarkan meningkat kepada 28,725 ringgit pada tahun 2011  berbanding 26,175 ringgit pada tahun 2010.
9. Berikutan  pertumbuhan ekonomi global tidak menentu, perdagangan luar sederhana,  tekanan inflasi meningkat serta suasana geopolitik yang bergolak,  pertumbuhan ekonomi negara dalam tempoh separuh pertama 2011 mencatat  4.4 peratus. Pertumbuhan ini didorong oleh perkembangan ekonomi domestik  yang kekal tegap. Momentum ini dijangka meningkat dalam tempoh separuh  kedua 2011, dipacu oleh penggunaan dan pelaburan swasta yang lebih  rancak. Dengan ini, pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2011 dianggar  berkembang 5 hingga 5.5 peratus.
10. Bagi tahun 2012 pula,  prospek ekonomi global dijangka lebih mencabar. Tabung Kewangan  Antarabangsa telah menyemak semula pertumbuhan ekonomi dunia kepada 4  peratus dan perdagangan dunia kepada 5.8 peratus. Ini berikutan  kelembapan ekonomi di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun, tekanan  inflasi akibat kenaikan harga komoditi, krisis hutang negara Eropah  serta perdagangan dunia yang lebih perlahan. Perkembangan global ini  sudah tentunya memberi impak langsung ke atas ekonomi Malaysia.
11.  Mengambil kira faktor ini, Kerajaan akan menyusun strategi merancakkan  aktiviti ekonomi domestik terutamanya pelaburan swasta dan awam, serta  penggunaan swasta. Pelaburan swasta dan awam dijangka meningkat 15.9  peratus dan 7 peratus, disokong oleh peningkatan pelaburan langsung  asing, pelaksanaan projek ETP dan Rolling Plan Kedua (RP-Kedua) di bawah  Rancangan Malaysia ke-10 (RMKe-10). Penggunaan swasta di unjur  meningkat 7.1 peratus berikutan peningkatan pendapatan boleh guna dan  prospek pekerjaan yang lebih positif. Dari sudut penawaran, sektor  perkhidmatan dijangka berkembang 6.5 peratus manakala sektor pembinaan  meningkat 7 peratus. Oleh itu, pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun  2012 diunjurkan antara 5 hingga 6 peratus.
PERUNTUKAN BAJET 2012
Tuan Yang di-Pertua,
12.  Bajet 2012 akan menyediakan peruntukan 232.8 bilion ringgit bagi  melaksanakan semua rancangan pembangunan Kerajaan termasuk projek dan  program di bawah RP-Kedua, NKEA, NKRA dan SRI khususnya menumpukan  kepada kesejahteraan rakyat. Daripada jumlah tersebut 181.6 bilion  ringgit adalah bagi peruntukan perbelanjaan mengurus dan 51.2 bilion  ringgit bagi perbelanjaan pembangunan.
13. Di bawah peruntukan  mengurus, 52 bilion ringgit adalah bagi Emolumen dan 30.5 bilion ringgit  disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala, 96.5 bilion ringgit  diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Sejumlah 1.1  bilion ringgit disediakan untuk Pembelian Aset dan baki 1.5 bilion  ringgit untuk perbelanjaan lain.
14. Bagi peruntukan pembangunan  pula, 29.8 bilion ringgit disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung  keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan  luar bandar. Sejumlah 13.6 bilion ringgit diperuntukkan bagi sektor  sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan  serta pembangunan masyarakat. Seterusnya, 4.4 bilion ringgit  diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, 1.4 bilion ringgit  bagi pentadbiran am dan 2 bilion ringgit untuk simpanan luar jangka.
15.  Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2012, jumlahnya  dianggarkan meningkat 1.9 peratus kepada 186.9 bilion ringgit,  berbanding 183.4 bilion ringgit pada tahun 2011. Dengan mengambil kira  anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit Kerajaan Persekutuan bagi tahun  2012 dijangka terus berkurangan kepada 4.7 peratus daripada KDNK,  berbanding 5.4 peratus pada tahun 2011.
16. Dalam menangani  persekitaran luar yang semakin mencabar usaha akan terus dilaksanakan  bagi memperkukuh ekonomi domestik. Bagi terus memantapkan pertumbuhan  ekonomi negara, Kerajaan akan melaksanakan Pakej Rangsangan Khas  dibiayai melalui Private Financing Initiative (PFI). Kaedah ini telah  terbukti berjaya merangsangkan ekonomi negara melalui penambahan  projek-projek yang produktif dan boleh meningkatkan kesejahteraan  rakyat. Melalui inisiatif ini, beberapa projek awam seperti pembaikan  dan penyelenggaraan sekolah, termasuk pembinaan blok baru, menaiktaraf  hospital, rancangan tebatan banjir, menaiktaraf infrastruktur asas luar  bandar serta pembinaan perumahan rakyat termasuk perumahan golongan  nelayan dan golongan berpendapatan rendah dapat dilaksanakan. Bagi tahun  2012, jumlah projek melalui Pakej Rangsangan Khas ini berjumlah 6  bilion ringgit akan dilaksanakan.
FOKUS BAJET 2012
Tuan Yang di-Pertua,
17.  Dengan izin Allah SWT jua, Bajet 2012 dirangka dan dirancang bertemakan  “DASAR TRANSFORMASI NASIONAL: BAJET MEMBELA RAKYAT, MENSEJAHTERA  NEGARA” dengan memberi penekanan kepada lima fokus utama.
FOKUS PERTAMA: MELIGAT PELABURAN
18.  Sesungguhnya, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kepada  ekonomi negara dengan mencatatkan hampir 58 peratus kepada KDNK. Di  bawah RMKe-10, Kerajaan mensasarkan sektor ini mencapai 60 peratus  kepada KDNK menjelang tahun 2015. Kerajaan akan meliberalkan 17 lagi  subsektor perkhidmatan secara berfasa pada tahun 2012, merangkumi  perkhidmatan hospital swasta; perkhidmatan pakar perubatan dan  pergigian; arkitek; kejuruteraan; perakaunan dan percukaian;  perundangan; perkhidmatan kurier; perkhidmatan pendidikan dan latihan;  serta perkhidmatan telekomunikasi. Inisiatif ini akan membolehkan hak  pegangan ekuiti asing sehingga 100 peratus dalam subsektor terpilih.
19.  Tahun 2012 juga merupakan tahun pertama pelaksanaan Rolling Plan Kedua  bagi Rancangan Malaysia Ke-10 dengan peruntukan sebanyak 98.4 bilion  ringgit, 49.2 bilion ringgit bagi tahun 2012 dan 49.2 bilion ringgit  lagi bagi tahun 2013. Rolling Plan Kedua akan menumpukan kepada projek  pembangunan berimpak tinggi dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi  negara. Serentak itu, untuk mempastikan setiap sen yang dibelanjakan  membawa manfaat kepada rakyat, pengurusan nilai, akan terus diamalkan  bagi projek baru bernilai 50 juta ringgit ke atas.
20. Antara projek utama yang akan dilaksanakan adalah:
• Projek landasan kereta api berkembar Gemas – Johor Bahru;
•  Projek Lebuhraya Pantai Timur Jabor – Kuala Terengganu, Lebuhraya  Pantai Barat Banting – Taiping, Lebuhraya Segamat – Tangkak dan  Lebuhraya Central Spine serta pembinaan jalan Kota Marudu – Ranau; dan
• Pembangunan semula Pangkalan Udara Sungai Besi Kuala Lumpur.
21.  Dalam Rancangan Malaysia Ke-10, Kerajaan telah menyediakan peruntukan  sebanyak 20 bilion ringgit di bawah Dana Mudahcara perkongsian  awam-swasta atau PPP. Ia berperanan sebagai tipping point bagi membantu  sektor swasta membangunkan projek yang mempunyai nilai strategik kepada  negara. Daripada jumlah ini, 18 bilion ringgit untuk kegunaan projek  berimpak tinggi manakala 2 bilion ringgit untuk projek melibatkan  usahawan Bumiputera. Bagi tahun 2012 pula, Kerajaan memperuntukkan 2.5  bilion ringgit di bawah dana ini dan dijangka 300 juta ringgit akan  digunakan oleh usahawan Bumiputera.
22. Bagi tahun 2012, Kerajaan  akan memperuntukkan 978 juta ringgit untuk merancakkan pembangunan di  lima wilayah koridor. Di antara projek yang akan dilaksanakan adalah,  pembinaan lebuh raya persisiran pantai Johor Bahru-Nusa Jaya di Iskandar  Johor; projek pelancongan warisan Taiping di Koridor Utara; projek  agropolitan Besut di Koridor Pantai Timur; projek kelompok industri  berasaskan kelapa sawit Lahad Datu di Wilayah Koridor Sabah dan projek  bekalan air Samalaju di Wilayah Koridor Sarawak.
Tuan Yang di-Pertua,
23.  Dalam ikhtiar merancakkan industri perbankan, kewangan dan pasaran  modal, usaha berterusan diperlukan bagi menggalakkan pembangunan  perkhidmatan kewangan yang lebih berintegrasi serta komprehensif. Ia  dapat dicapai dengan penubuhan Pusat Pengurusan Perbendaharaan yang akan  membangunkan Malaysia sebagai pusat kewangan berdaya saing di rantau  ini. Bagi menarik syarikat multinasional memilih Malaysia sebagai  destinasi utama Perkhidmatan Pengurusan Perbendaharaan, Kerajaan  mencadangkan pakej galakan berikut:
Pertama: Pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama 5 tahun;
Kedua: Pengecualian cukai pegangan ke atas pembayaran faedah pinjaman; dan
Ketiga: Pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman dan perjanjian perkhidmatan.
Tuan Yang di-Pertua,
24.  Seperti dibentang dalam Bajet 2011, Kerajaan bersetuju untuk  membangunkan Pusat Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur atau KLIFD dan  menimbang pakej insentif yang menarik. Dengan itu, saya mencadangkan:
Pertama:  Pengecualian cukai pendapatan seratus peratus bagi tempoh sepuluh tahun  dan pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman dan  perjanjian perkhidmatan bagi syarikat berstatus KLIFD;
Kedua: Elaun Bangunan Industri dan Elaun Modal Dipercepatkan bagi syarikat berstatus KLIFD Marquee; dan
Ketiga: Pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama lima tahun bagi pemaju hartanah di KLIFD.
25.  Merujuk industri kewangan Islam pula, ia telah berkembang pesat sejak  sedekad lalu yakni 22 peratus kepada jumlah keseluruhan aset kewangan  berbanding 6.9 peratus pada tahun 2000. Industri kewangan Islam  menyumbang 11 peratus kepada jumlah pekerjaan sektor kewangan negara.  Sektor perbankan Islam dan takaful terus mencatatkan pertumbuhan dua  digit dalam tempoh lima tahun yang lepas.
26. Pasaran sukuk  Malaysia juga terus menjadi pasaran bon Islam terbesar di dunia mewakili  dua per tiga daripada sukuk terkumpul global. Kita juga menjadi  perintis dalam mencipta produk kewangan Islam berinovatif. Pada tahun  ini, kita berjaya menerbitkan Sukuk Global Wakala pertama di dunia  bernilai dua bilion dolar Amerika dengan lebihan langganan 4.5 kali  ganda. Hakikat ini menjadi bukti meningkatnya keyakinan pelabur terhadap  ekonomi negara dan penerimaan dunia terhadap produk kewangan Islam  terbitan Malaysia. Lantaran itu, bagi terus menggalakkan penerbitan  sukuk yang menggunakan struktur wakala, potongan cukai diberi bagi  tempoh tiga tahun ke atas perbelanjaan penerbitan sukuk wakala mulai  tahun taksiran 2012. Manakala, pengecualian cukai pendapatan ke atas  penerbitan dan urus niaga sukuk bukan ringgit dilanjutkan lagi selama  tiga tahun sehingga taksiran 2014.
27. Di sudut lain, Exchange  Traded Fund atau ETF merupakan salah satu produk kewangan inovatif.  Cabaran krisis kewangan dunia yang berlaku pada tahun 2008 telah  membuatkan para pelabur menilai semula tahap risiko pelaburan mereka dan  beralih kepada ETF. Ciri kepelbagaian portfolio yang merangkumi  keseluruhan spektrum ekuiti, bon dan komoditi membolehkan para pelabur  meneroka peluang pelaburan baru melalui pasaran ETF. Untuk merancakkan  lagi pembangunan produk ETF, I-VCap, anak syarikat Valuecap Sendirian  Berhad akan menyediakan dana permulaan patuh Syariah berjumlah 200 juta  ringgit. Dana ini akan memberi pinjaman secara pemadanan dengan jumlah  maksimum 20 juta ringgit.
Tuan Yang di-Pertua,
28.  InsyaAllah, Kerajaan bercadang untuk menyenaraikan FELDA Global Ventures  Holdings atau FGVH sebelum pertengahan tahun 2012 bagi menghasilkan  dana untuk menjadikan FGVH sebuah syarikat berstatus konglomerat global.  Penyenaraian FGVH akan mewujudkan sebuah lagi syarikat blue chip  perladangan di samping meningkatkan minat pelabur antarabangsa terhadap  Bursa Malaysia. Walau apa pun, hak dan faedah peneroka akan terus  dipelihara melalui pemilikan majoriti saham oleh Koperasi Permodalan  FELDA. Apa yang mustahak, setiap peneroka akan menerima “durian runtuh”  yang mana jumlahnya akan diumumkan nanti, sebelum penyenaraian  dilakukan.
Tuan Yang di-Pertua,
29. Menyedari pula  keperluan mempelbagaikan produk pasaran modal bagi menarik pelaburan  tempatan dan asing, Kerajaan telah memberi kadar cukai konsesi 10  peratus ke atas dividen pelabur institusi bukan korporat dan pelabur  individu dalam Amanah Pelaburan Hartanah sehingga 31 Disember 2011. Bagi  terus menggalakkan perkembangan industri ini, Kerajaan mencadangkan  galakan cukai dilanjutkan selama 5 tahun lagi mulai 1 Januari 2012  hingga 31 Disember 2016.
30. Seperti yang dimaklumi, Perusahaan  Kecil Sederhana (PKS) menyumbang hampir 31 peratus kepada KDNK, 56  peratus kepada tenaga kerja dan mencakupi 19 peratus daripada jumlah  eksport. Sebagai usaha meningkatkan lagi sumbangan PKS kepada  pertumbuhan ekonomi, satu skim Dana Pembiayaan PKS patuh syariah  berjumlah dua bilion ringgit yang dikendalikan oleh bank-bank Islam  terpilih akan diwujudkan pada 2012. Seiring maksud ini, Kerajaan akan  menanggung dua peratus daripada kadar keuntungan pembiayaan.
31.  Selanjutnya, kita tahu bahawa, kegagalan usahawan bukan semuanya  disebabkan oleh ketidakupayaan berniaga tetapi juga oleh faktor di luar  kawalan seperti kemelesetan ekonomi dan kenaikan kos. Gagal sekali tidak  bermakna gagal selama-lamanya atau pintu kejayaan telah tertutup.  Usahawan yang ikhlas dan gigih dalam perniagaan mesti diberi peluang  kedua. Bagi tujuan ini, Kerajaan akan menyediakan SME Revitalisation  Fund dengan dana 100 juta ringgit. Skim ini menawarkan pinjaman mudah  dengan maksimum satu juta ringgit kepada golongan peniaga untuk  membangunkan semula perniagaan mereka. Dana ini akan diuruskan oleh SME  Bank dan akan ditawarkan pada Januari 2012.
32. Kerajaan juga  bercadang untuk menubuhkan satu Dana Kecemasan PKS sebanyak 10 juta  ringgit untuk membantu PKS yang terlibat dengan bencana alam. Penubuhan  dana ini adalah satu langkah proaktif bagi membantu PKS supaya dapat  beroperasi semula seperti biasa dalam tempoh yang singkat. Dana ini akan  disalurkan kepada PKS dalam bentuk geran dan pinjaman mudah melalui SME  Corporation dan MIDF. Skop pembiayaan dana akan meliputi pembelian  mesin dan peralatan untuk menggantikan mesin yang musnah dalam bencana  alam, pembelian bahan mentah dan membaik pulih premis.
33. Menyentuh  perniagaan francais pula, kita dapati, francais oleh syarikat tempatan  dapat memperkasakan jenama Malaysia. Jadinya, bagi terus menyokong  pembangunan industri francais tempatan, Kerajaan mencadangkan fi  francais yang ditanggung oleh francaisi dibenarkan potongan cukai.  Kerajaan menyeru syarikat francais tempatan tidak melepaskan peluang  untuk terus berusaha dan memantapkan lagi perniagaan termasuklah  mengembangkan sayapnya ke luar negara.
34. Dalam usaha memajukan  teknologi hijau dan menjamin kelestarian pembangunan negara,  pengecualian sepenuhnya duti import dan duti eksais kepada pemegang  francais akan terus diberi bagi mengimport kereta hibrid dan kereta  elektrik. Pengecualian cukai ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2013.
35.  Berkaitan pelancongan pula, pada tahun 2010, sektor ini berjaya menarik  seramai 25 juta pengunjung asing dengan pendapatan 56 bilion ringgit.  Bagi terus menggalakkan pelancong dari dalam dan luar negara, destinasi  menarik khususnya Pulau Langkawi akan dibangunkan semula. Pelan Induk  Lima Tahun Pembangunan Pelancongan Langkawi akan dilancarkan dengan  peruntukan pembangunan 420 juta ringgit. Antara inisiatif yang akan  diambil ialah menyusun semula Lembaga Pembangunan Langkawi, penubuhan  pasukan renjer hutan, menaik taraf muzium, kawasan pantai dan perniagaan  serta menyediakan sistem pengangkutan yang lebih efisien.
36.  Kerajaan juga akan terus membantu sektor swasta menyediakan lebih banyak  kemudahan penginapan bagi menarik pelancong berbelanja tinggi. Bagi  menggalakkan lagi pelaburan dalam bidang perhotelan setanding dengan  hotel terkemuka di dunia, Kerajaan mencadangkan pengusaha yang melabur  dalam hotel baru bertaraf empat dan lima bintang di Semenanjung Malaysia  diberi galakan Taraf Perintis dengan pengecualian cukai pendapatan  sebanyak 70 peratus atau Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 60 peratus bagi  tempoh lima tahun. Galakan cukai yang serupa telah diberi kepada  pengusaha hotel di Sabah dan Sarawak. Di samping itu, Kerajaan akan  memperbadankan Malaysia Healthcare Travel Council bagi membangun dan  mempromosi negara sebagai destinasi utama penjagaan kesihatan di rantau  ini.
37. Berhubung kadar cukai keuntungan harta tanah (RPGT),  kadar tetap RPGT yang rendah iaitu lima peratus didapati tidak begitu  berkesan untuk membendung aktiviti spekulasi dalam pasaran hartanah yang  mana jika tidak dikawal akan memberi tekanan kepada harga hartanah.  Situasi ini dalam jangka masa panjang akan menjejaskan kemampuan  golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah. Bagi  menangani masalah ini, Kerajaan mencadangkan kadar RPGT dikaji semula.  Bagi hartanah yang dilupuskan dalam tempoh pegangan sehingga dua tahun,  kadar RPGT adalah 10 peratus. Bagi hartanah yang dilupuskan dalam tempoh  pegangan melebihi dua hingga lima tahun, RPGT dikekalkan pada kadar  lima peratus. Bagi hartanah yang dilupuskan selepas lima tahun pula,  RPGT tidak dikenakan. Saya yakin, kadar RPGT yang masih rendah ini tidak  menjejaskan pemilik hartanah tulin dan sekali gus dapat mengawal  aktiviti spekulasi dalam sektor hartanah.
Tuan Yang di-Pertua,
FOKUS KEDUA: MENGUNGGULI MODAL INSAN, MENCERNA KREATIVITI DAN MENCETUS INOVASI
38.  Sememangnya, inovasi membolehkan rantaian nilai ekonomi dianjak ke  tahap yang lebih tinggi. Inovasi mencetuskan idea baru yang dirubah  menjadi nilai komersial berdaya maju. Justeru, institusi penyelidikan  perlu menyusun semula strategi untuk menterjemahkan hasil R&D kepada  produk yang bernilai komersial. Inovasi perlu diterap dan diamalkan  oleh semua, termasuk sektor swasta, sektor awam, NGO, ibu bapa,  institusi pengajian tinggi, pelajar sekolah, hatta kanak-kanak  prasekolah. Dengan ini, sukacita saya mengumumkan tahun 2012 sebagai  tahun Gerakan Inovasi Nasional. Bagi menjayakan hasrat ini, Kerajaan  telah mengatur beberapa inisiatif strategik dengan peruntukan 100 juta  ringgit seperti berikut:
Pertama: Melaksana program penerapan dan  pembangunan inovasi di peringkat sekolah dan IPTA serta di kawasan luar  bandar. Program ini akan dijalankan melalui kerjasama antara agensi  Kerajaan dan NGO;
Kedua: Meneruskan pelaksanaan program Jejak  Inovasi oleh Yayasan Inovasi Malaysia untuk menggalakkan pencetusan idea  baru dan pengkomersialan produk inovasi hasil penciptaan rakyat  terutamanya di luar bandar;
Ketiga: Memperkenalkan Anugerah Cipta  1Malaysia (C1PTA) bagi mengiktiraf reka cipta pelajar dan belia yang  paling inovatif di peringkat nasional. Program ini akan dilaksanakan  oleh NGO dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi;
Keempat:  Memupuk budaya inovasi melalui program realiti dan dokumentari inovasi  di media elektronik serta penerbitan artikel di media cetak;
Kelima:  Mempastikan sesuatu produk melalui market validation untuk menentukan  daya maju komersial. Untuk ini, Market Validation Fund dengan peruntukan  permulaan 30 juta ringgit akan diwujud dan diuruskan oleh Malaysian  Technology Development Corporation (MTDC) dengan kerjasama Agensi  Inovasi Malaysia;
Keenam: Lebih daripada 300 harta intelek dalam  bentuk produk dan teknologi baru daripada universiti akan ditawarkan  kepada sektor swasta untuk dikomersialkan. Jangkaan Gross National  Income atau GNI yang dijana adalah melebihi 30 billion ringgit sehingga  tahun 2020; dan
Ketujuh: Menganjur World Innovation Forum dan  Asia Business Angel Forum pada tahun 2012. Inisiatif ini merupakan  sebuah platform untuk menemukan pelabur dan pembiaya serta komuniti  usahawan.
39. Untuk membolehkan syarikat PKS memulakan perniagaan  produk penyelidikan baru dan pengkomersialan, Kerajaan akan menyediakan  Dana Inovasi Pengkomersialan patuh syariah berjumlah 500 juta ringgit  pada kadar keuntungan yang menarik. Dana ini membiayai syarikat PKS di  mana produknya telah menjalani proses pengesahan pengkomersialan  pasaran. Dana ini akan disediakan oleh bank-bank Islam terpilih mulai  tahun 2012 dengan Kerajaan menanggung dua peratus daripada kadar  keuntungan.
40. Dalam aspek ini juga, industri perkhidmatan reka  bentuk yang meliputi kreativiti dan inovasi dapat menyumbang kepada  peningkatan fungsi dan keselamatan produk, pengurangan kos serta  memenuhi cita rasa pengguna masa kini. Di samping itu, industri ini juga  memainkan peranan penting untuk terus meningkatkan produktiviti,  kualiti dan daya saing produk. Bagi menggalakkan kreativiti, inovasi dan  teknologi moden yang melibatkan pereka bentuk tempatan, Kerajaan  mencadangkan perkhidmatan reka bentuk industri diberi galakan Taraf  Perintis dengan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama  lima tahun.
Tuan Yang di-Pertua,
41. Ilmu pengetahuan  adalah tonggak kepada pembikinan sesebuah tamadun dan pelapik asas bagi  mencapai kecemerlangan. Jadinya, untuk menuju aspirasi negara maju  berpendapatan tinggi, Kerajaan memberi keutamaan kepada pembangunan  sistem pendidikan yang dapat melahirkan tenaga kerja berbakat,  berkemahiran tinggi, mempunyai daya kreativiti serta berinovatif. Sektor  pendidikan akan diperuntukkan 50.2 bilion ringgit bagi tahun 2012. Bagi  Kementerian Pelajaran, peruntukan pembangunan sebanyak 1.9 bilion  ringgit akan dibelanjakan untuk semua jenis sekolah terdiri daripada  Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, Sekolah  Mubaligh dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.
42. Sebagai  tambahan, peruntukan 1 bilion ringgit akan diwujudkan melalui Tabung  Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi  keperluan mendesak untuk membaik-pulih bangunan sekolah,  penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan.  Daripada peruntukan tersebut, 500 juta ringgit kepada Sekolah  Kebangsaan, 100 juta ringgit disediakan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan  Cina, 100 juta ringgit Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, 100 juta ringgit  Sekolah Mubaligh, 100 juta ringgit Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan  100 juta ringgit kepada Maktab Rendah Sains MARA.
Tuan Yang di-Pertua,
43.  Bagi membolehkan setiap anak-anak Malaysia tanpa mengira latar  sosioekonomi berpeluang kepada masa depan yang lebih baik maka kerajaan  akan mempastikan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan.  Pada masa ini, pelajar masih dikenakan bayaran 24 ringgit 50 sen bagi  sekolah rendah dan 33 ringgit 50 sen bagi sekolah menengah untuk bayaran  kokurikulum, kertas ujian dalaman, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah  Malaysia dan Insuran Takaful. Ingin dimaklumkan bahawa, mulai sesi  persekolahan 2012, bayaran ini akan dimansuhkan. Dengan ini, sukacita  diumumkan bahawa, buat pertama kalinya dalam sejarah, pendidikan rendah  dan menengah di sekolah-sekolah kerajaan adalah disedia dengan percuma.  Pemansuhan semua bayaran ini akan melibatkan peruntukan sebanyak 150  juta ringgit.
44. Sektor swasta turut memainkan peranan penting  dalam menyediakan pendidikan berkualiti untuk melahirkan generasi masa  hadapan yang cemerlang. Oleh itu, Kerajaan mencadangkan sekolah swasta  yang berdaftar dengan Kementerian Pelajaran dan memenuhi peraturan yang  ditetapkan diberi galakan berikut:
Pertama: Pengecualian cukai  pendapatan sebanyak 70 peratus atau Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100  peratus ke atas perbelanjaan modal dalam tempoh lima tahun;
Kedua: Potongan dua kali bagi perbelanjaan promosi di luar negara bagi menarik lebih ramai kemasukan pelajar asing; dan
Ketiga: Pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas semua peralatan pembelajaran.
Kerajaan  berharap, dengan adanya penjimatan kos ini kepada pengendali sekolah  swasta, sebagai imbal balas dapatlah dikurangkan sedikit yuran sekolah  para pelajar, agar beban para ibu bapa dapat diringankan.
45.  Institusi pendidikan rendah dan menengah yang berdaftar, termasuklah  sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah mubaligh dan  sekolah agama, seringkali menerima sumbangan kewangan daripada syarikat  dan orang perseorangan bagi menambah baik kemudahan di sekolah-sekolah  tersebut. Bagi menggalakkan orang ramai menyumbang kepada  sekolah-sekolah tersebut, maka sumbangan seperti ini diberi potongan  cukai. Kemudahan ini juga dipanjangkan kepada semua tempat-tempat ibadat  yang berdaftar. Kerajaan akan menyegerakan kelulusan pengecualian cukai  bagi institusi pendidikan dan semua rumah ibadat dalam tempoh masa yang  singkat.
46. Di samping itu, sektor swasta adalah disaran untuk  berganding bahu memantapkan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.  Untuk ini, Kerajaan mencadangkan pemberian galakan cukai berikut:
Pertama: Potongan dua kali ke atas perbelanjaan yang dilakukan oleh syarikat dalam melaksanakan program Internship;
Kedua: Potongan dua kali ke atas pemberian biasiswa; dan
Ketiga: Potongan dua kali ke atas perbelanjaan bagi menyertai pameran kerjaya di luar negara.
Tuan Yang di-Pertua,
FOKUS KETIGA: PROGRAM TRANSFORMASI LUAR BANDAR
47.  Program Transformasi Luar Bandar atau RTP merupakan pelengkap program  transformasi menyeluruh negara. RTP akan mentransformasikan kawasan luar  bandar supaya mampu menarik pelaburan swasta, menyediakan peluang  pekerjaan dan kegiatan ekonomi serta menggalakkan generasi muda kembali  berkhidmat. Oleh itu, Kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah  seperti berikut:
Pertama: Mewujudkan Pusat Transformasi Luar  Bandar atau RTC sebagai pusat integrasi perkhidmatan meliputi  pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pengeluaran pertanian;  perbankan dan insurans; khidmat nasihat perniagaan; latihan dan  kemahiran; klinik serta ruang niaga. Buat permulaan, Terminal Agrobisnes  Negara atau TEMAN sedia ada di Wakaf Che Yeh, Kelantan dan Gopeng, di  Perak akan dimajukan sebagai projek perintis RTC. Di samping itu, empat  lagi RTC akan dibangunkan di Kedah, Johor, Sabah dan Sarawak;
Kedua:  Mewujudkan Dana Perkhidmatan Profesional bagi golongan profesional  seperti peguam, doktor dan akauntan untuk membuka firma di pekan-pekan  kecil. Bagi tujuan ini, dana berjumlah 100 juta ringgit akan disediakan  oleh BSN secara pinjaman mudah dengan kadar faedah empat peratus. Di  samping itu, surat cara perjanjian pembiayaan skim ini turut diberi  pengecualian duti setem; dan
Ketiga: Melaksanakan Program  Lonjakan Mega Luar Bandar seluas 6,500 hektar di 11 kawasan Projek  Agropolitan seluruh negara yang melibatkan tanaman komoditi, penanaman  kontan dan ternakan ikan sangkar dengan peruntukan sebanyak 110 juta  ringgit. Di samping itu, RISDA akan melaksanakan program tanaman baru  getah dan penanaman semula getah serta kelapa sawit dengan peruntukan  140 juta ringgit yang akan memanfaatkan hampir 20,000 pekebun kecil.
48.  Seterusnya, untuk memperkukuhkan pembangunan infrastruktur asas luar  bandar secara lebih komprehensif, peruntukan lima bilion ringgit akan  disediakan pada tahun 2012. Daripada jumlah tersebut, 1.8 bilion ringgit  bagi Program Jalan Luar Bandar dan Projek Jalan Perhubungan Desa untuk  membina 2,749 kilometer jaringan jalan raya yang membawa manfaat kepada  1.76 juta penduduk luar bandar. Di samping itu, 2.1 bilion ringgit  disediakan bagi memperluas liputan bekalan air bersih kepada 200 ribu  rumah serta 1.1 bilion ringgit lagi untuk bekalan elektrik luar bandar  kepada 39 ribu buah rumah, khususnya di Sabah dan Sarawak.
49.  Melihat kepada kejayaan pelaksanaan Projek Penyelenggaraan Infrastrukur  Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) dalam menaiktaraf  infrastruktur asas terutamanya di luar bandar, Kerajaan akan  memperuntukkan sejumlah 500 juta ringgit lagi demi melangsungkan terus  usaha mulia tersebut. Apa yang mustahak, pelaksanaan PIA dan PIAS ini  akan melibat penyertaan hampir 29,000 kontraktor Kelas F yang berdaftar  dengan Pusat Khidmat Kontraktor.
Tuan Yang di-Pertua,
50.  Kerajaan amat menitikberatkan bekalan air bersih khususnya kepada  masyarakat luar bandar termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.  Walau bagaimanapun, tempoh pelaksanaan projek bekalan air retikulasi ke  pedalaman Sabah dan Sarawak mengambil masa yang lama. Sebagai langkah  segera, Kerajaan telah membekalkan 20 ribu tangki menggunakan kaedah  tadahan air hujan, untuk penduduk pedalaman Sarawak, terutama penduduk  rumah panjang yang melibatkan perbelanjaan 52 juta ringgit. Kemudahan  ini memberi faedah kepada hampir 100 ribu penduduk. Bagi tahun 2012,  program ini akan dipanjangkan pula kepada negeri Sabah dengan peruntukan  50 juta ringgit.
51. Di kawasan FELDA pula, infrastruktur sistem  bekalan air yang telah beroperasi melebihi 50 tahun tidak lagi dapat  beroperasi dengan baik kerana kebanyakannya telah usang. Keadaan ini  telah menyebabkan berlakunya krisis kekurangan dan gangguan bekalan air  yang kritikal di sesetengah kawasan FELDA, terutamanya di Pahang, Kedah,  Kelantan dan Terengganu. Justeru, Kerajaan akan memperuntukkan 400 juta  ringgit bagi kerja-kerja menaik taraf infrastruktur bekalan air secara  berperingkat di kawasan-kawasan FELDA yang terpilih.
52.  Sementara itu juga, Kerajaan menyedari masih terdapat estet yang belum  mempunyai kemudahan bekalan air bersih. Sebagai permulaan, Kerajaan  bersetuju menyediakan peruntukan 50 juta ringgit untuk menambah baik  kemudahan bekalan air yang melibatkan penyambungan dari estet ke paip  utama sedia ada. Kerajaan juga bersetuju supaya Pihak Berkuasa Bekalan  Air mengenakan tarif domestik kepada perumahan pekerja estet berbanding  dengan tarif industri yang dikenakan sekarang. Kementerian Sumber  Manusia akan dipertanggungjawab untuk menyelaras dan memantau  pelaksanaan kemudahan bekalan air ini.
Tuan Yang di-Pertua,
53.  Bagi meningkatkan lagi akses perkhidmatan perbankan kepada penduduk  luar bandar, BSN akan melantik agen-agen di kawasan luar bandar di  seluruh negara untuk menyediakan perkhidmatannya. Dalam tempoh tiga  tahun akan datang, BSN akan melantik sejumlah lima ribu agen. Di  peringkat permulaan, perkhidmatan yang disediakan meliputi transaksi  simpanan dan pengeluaran, pembayaran bil serta pembelian Sijil Simpanan  Premium. BSN akan menyediakan 50 juta ringgit bagi membiayai pembangunan  sistem, latihan kepada agen dan kos operasi.
54. Selain itu,  saya amat maklum bahawa masyarakat luar bandar sering menghadapi masalah  perkhidmatan bas yang kurang memuaskan. Bagi menyediakan kemudahan yang  lebih selesa, boleh dipercaya dan berkualiti, peruntukan tambahan 150  juta ringgit akan disalurkan kepada Tabung Pembangunan Pengangkutan Awam  di SME Bank. Dengan yang demikian, pengusaha bas berhenti-henti, bas  mini dan bas sekolah boleh memohon pinjaman mudah dengan kadar faedah  empat peratus untuk membeli atau membaik pulih bas. Kemudahan pembiayaan  ini akan disediakan mulai 1 Januari 2012.
55. Dalam pada itu,  seperti yang terlukis pada gagasan mulia 1Malaysia, tidak ada mana-mana  pihak, etnik atau kaum yang akan dipinggirkan. Semuanya mempunyai saham  dan hasil mahsul dalam cerita kejayaan Malaysia. Begitulah dari masa ke  semasa pula, pembangunan dan kebajikan Orang Asli terus menjadi agenda  penting Kerajaan. Pada waktu ini, terdapat seramai 190 ribu Orang Asli  di seluruh negara dengan majoritinya tinggal di Pahang dan Perak. Bagi  tahun 2012, Kerajaan akan memperuntukkan 90 juta ringgit untuk  penyediaan kemudahan asas termasuk memperluaskan projek bekalan air  terawat serta program penjanaan pendapatan. Sememangnya, Kerajaan amat  bersimpati dengan bencana tanah runtuh yang berlaku di kawasan Sungai  Ruil, Cameron Highlands baru-baru ini. Untuk mempastikan keselamatan  penduduk Orang Asli di kawasan tersebut, Kerajaan dengan ini  memperuntukkan 20 juta ringgit bagi pemindahan penduduk ke kawasan  perumahan baru.
Tuan Yang di-Pertua,
FOKUS KEEMPAT: MEMPERKEJAP PERKHIDMATAN AWAM
56.  Bajet 2012 akan memperkenalkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam  atau SBPA yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia atau SSM.  Sesungguhnya, SBPA digubal dengan matlamat mentransformasikan  Perkhidmatan Awam Malaysia supaya menjadi organisasi yang lebih dinamik,  responsif dan berorientasikan prestasi. SBPA akan memperkenalkan  prinsip perubahan radikal dalam pengambilan dan pengisian jawatan serta  pembangunan kerjaya dengan teras pengekalan atau penamatan perkhidmatan  penjawat awam berasaskan prestasi kerja. SBPA ini mempunyai  elemen-elemen berikut:
Pertama: Mewujudkan Dasar Pemisah atau  exit policy bagi penjawat awam yang berprestasi rendah dan mereka yang  memilih untuk meninggalkan perkhidmatan;
Kedua: Menambah baik  struktur gaji penjawat awam melalui pembentukan gaji sebaris dengan  mewujudkan lebih banyak mata gaji supaya penjawat awam terus mendapat  kenaikan tahunan bagi tempoh yang lebih lama. Dengan itu, gaji maksimum  bagi sesuatu gred adalah lebih tinggi daripada sekarang. Contohnya, jika  di bawah SSM, bagi seorang guru pada gred DG48, gaji maksimum adalah  6,325 ringgit dan 39 sen, kelak, di bawah SBPA, gaji maksimum beliau  akan meningkat 37.7 peratus kepada 8,710 ringgit. Bagi guru bukan  siswazah pula, jika di bawah SSM kini, yang berada pada gred DG34, gaji  maksimum adalah 3,860 ringgit dan 52 sen, kelak nanti, di bawah SBPA ia  akan meningkat 39 peratus kepada 5,370 ringgit;
Ketiga: Pada  perutusan khas Hari Guru yang lalu, saya telah mengumumkan laluan  kerjaya perkhidmatan perguruan siswazah yang lebih baik. Tidak perlu  lagi seperti dulu, seorang guru terpaksa menunggu sehingga 20 tahun  untuk naik pangkat, sebaliknya sekarang, dalam skim baru mengikut  time-based, seorang guru akan mendapat gred 44 pada tahun ke-8 dan gred  48 pada tahun ke-16. Bagi guru bukan siswazah, dari gred 29 kepada 32,  jika mengikut sistem time-based sekarang, ia memakan masa 10 tahun,  namun, di bawah SBPA hanya mengambil tempoh lapan tahun sahaja.  Seterusnya pula, bagi kenaikan gred 32 ke 34, jika sekarang ini  bergantung pada kekosongan, tetapi di bawah SBPA kelak, kaedah  time-based lapan tahun turut diterima pakai; dan
Keempat:  Kenaikan Gaji Tahunan tidak pernah disemak sejak 1991. Mulai tahun 2012,  Kenaikan Gaji Tahunan penjawat awam akan ditingkatkan antara 80 hingga  320 ringgit mengikut gred. Di samping itu, bagi penjawat awam yang  menerima opsyen ke SBPA, akan mendapat faedah kenaikan gaji, di antara 7  hingga 13 peratus.
57. Kerajaan sentiasa prihatin ke atas beban  kewangan yang ditanggung oleh pesara. Dengan pelaksanaan SBPA, lebih 600  ribu pesara Kerajaan akan menikmati pelarasan pencen yang melibatkan  peruntukan 600 juta ringgit. Mulai tahun 2013 nanti, Kerajaan akan  melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun  tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan  gaji.
58. Dunia yang semakin maju menyaksikan keterdepanan dalam  teknologi dan sains perubatan. Hari ini, kita adalah sebuah negara yang  secara relatifnya muda namun suka tidak suka, pada suatu masa nanti kita  turut akan menghadapi fenomena biasa yang berlaku kepada mana-mana  negara sedang meningkat maju dan maju. Antara elemennya, kadar kelahiran  berkurang, keluarga memilih untuk mempunyai bilangan anak yang lebih  kecil dan kadar penuaan meningkat. Lalu, adalah tidak ekonomikal  sifatnya dalam keadaan begini jika umur persaraan tidak dilanjutkan,  sedangkan harus barang diingat bahawa kerajaan akan menanggung kos  gratuiti dan pembayaran pencen.
59. Ternyata, penjawat awam yang  berumur antara 55 tahun hingga 60 tahun masih boleh memberi sumbangan  berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka. Oleh itu, Kerajaan  bersetuju untuk melanjutkan umur persaraan wajib daripada 58 tahun  kepada 60 tahun bagi mengoptimumkan sumbangan pegawai perkhidmatan awam.  Pelanjutan ini tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada generasi  muda kerana sektor awam dan swasta akan terus mewujudkan peluang  pekerjaan baru.
Tuan Yang di-Pertua,
60. Kerajaan sentiasa  berpegang kepada falsafah dan prinsip bahawa usaha memperbaiki diri dan  menambah ilmu di dada tidak berpenghujung malah pembelajaran adalah  satu proses sepanjang hayat. Untuk menjadi pelaksana yang berkesan  kepada dasar-dasar kerajaan, penjawat awam mesti sentiasa melengkapkan  diri dengan pengetahuan, mempunyai pemikiran dinamik dan analitis.
61.  Bagi maksud ini, Kerajaan akan menawarkan bantuan yuran pengajian  kepada penjawat awam untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih  tinggi secara separuh masa. Pada tahun 2012, Kerajaan dengan kerjasama  IPTA akan menawarkan 5,000 peluang peringkat ijazah sarjana dan 500 lagi  peringkat kedoktoran falsafah kepada penjawat awam yang layak,  termasuklah para guru dengan peruntukan sebanyak 120 juta ringgit. Kita  akan menawarkan 20,000 tempat kepada kumpulan guru diploma yang ingin  melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda. Untuk tujuan ini  kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 80 juta ringgit bagi tahun  pertama. Kita yakin, dengan pendekatan ini, para penjawat awam dan para  guru, secara keseluruhan perjalanan kerjaya mereka akan bertambah baik  dengan peluang kenaikan pangkat yang lebih cerah.
62. Salah satu  daripada lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik yang telah dikenal pasti  dalam mentransformasikan negara adalah Penambahbaikan Kewangan Sektor  Awam atau Public Finance Reform. Inisiatif ini akan dapat meningkatkan  keberkesanan dan ketelusan pengurusan kewangan sektor awam. Selain itu,  sistem pentadbiran cukai yang cekap dan berkesan merupakan prasyarat  untuk memperluaskan asas cukai dan meningkatkan pematuhan oleh pembayar  cukai. Langkah penguatkuasaan akan dipertingkatkan dengan melaksanakan  operasi bersepadu bersama agensi berkaitan, di samping memperkukuhkan  sistem ICT agensi pengutip hasil.
63. Kerajaan juga tentunya  menghargai khidmat dan jasa kakitangan yang telah menamatkan kontrak  dari Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan dan Jabatan  Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan  Wilayah (KKLW) yang berjumlah seramai 4,300 orang. Bagi membantu  golongan ini meringankan kos sara hidup, Kerajaan akan memberi bayaran  khas sebanyak tiga ribu ringgit secara one-off.
Tuan Yang di-Pertua,
64.  Lanjutan daripada ucapan saya sempena Hari Malaysia 16hb September  baru-baru ini, kita bakal menempa wajah baru landskap sosiopolitik  negara. Pemansuhan, pemindaan dan penggubalan kerangka perundangan baru  bagi mengimbangi antara kepentingan keselamatan negara dan kebebasan  individu akan memerlukan ‘Policing in a modern and open society’.  Falsafah kepolisian yang dibentuk dalam era insurgency dan  ketidaktentuan tidak lagi sesuai pada kontemporari ini. Kita mahu  integriti dan wibawa pihak polis kekal terjunjung tinggi. Bagi  merealisasikannya, kita memerlukan pasukan Polis yang moden dengan  latihan yang sesuai dengan era baru, menuil teknologi moden, kelengkapan  terkini dan cara penyiasatan dan pengumpulan bukti yang saintifik dan  canggih. Untuk ini, peruntukan khas 200 juta ringgit akan disediakan.  Manakala sejumlah 442 juta ringgit lagi akan diperuntukkan pada tahun  2012, untuk perbelanjaan pembangunan PDRM. Antara projek yang akan  dilaksanakan merangkumi projek perumahan anggota polis, penambahbaikan  ibu pejabat, balai dan pusat latihan.
65. Rakyat Malaysia turut  insaf bahawa harga kita menikmati keamanan dan kemakmuran bukannya  percuma. Ia dibayar oleh mereka yang menyarung seragam Angkatan Tentera  Malaysia yang merupakan benteng pertahanan utama negara. Sebagai  kerajaan yang bertanggungjawab, sudah menjadi tugas kita untuk sentiasa  memelihara kebajikan mereka. Kebajikan anggota tentera sentiasa menjadi  perhatian Kerajaan bagi mempastikan anggota tentera fokus dalam  menjalankan tugas. Tempat tinggal dan suasana kem yang selesa dapat  menjadi pemangkin kepada prestasi kerja yang positif di kalangan  anggota. Untuk itu, Kerajaan akan memperuntukkan 500 juta ringgit di  bawah program Army Care untuk menaik taraf dan menyelenggarakan kem dan  kuarters tentera di seluruh negara.
66. Terdapat seramai 175 ribu  anggota tentera yang menamatkan perkhidmatan setelah berkhidmat kurang  daripada 21 tahun dan tidak menerima pencen. Akibatnya, mereka  menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan untuk menampung kos sara  hidup. Bagi meringankan beban golongan ini, Kerajaan akan menyediakan  program latihan khusus untuk mereka yang sudah bersara tanpa pencen bagi  menceburi bidang perniagaan serta membantu mendapatkan pekerjaan dalam  sektor awam dan swasta kepada mereka yang layak. Untuk melaksanakan  insentif ini, sebanyak 50 juta ringgit akan disediakan.
67.  Sejarah negara penuh dengan cerita-cerita wira yang tidak di dendang.  Mereka yang apabila telah mendengar panggilan Pertiwi untuk berkhidmat,  telah menyahutnya tanpa berlengah. Ini termasuklah lebih 48,000 bekas  anggota polis khas dan polis tambahan yang pernah berkhidmat menjaga  keselamatan negara semasa zaman darurat. Mereka terdiri daripada anggota  Home Guard, Special Constable, Extra Police Constable, Auxilliary  Police, Women Auxilliary Police, Women Special Constable, Border Scout  dan Jungle Scout.
68. Kerajaan Barisan Nasional adalah kerajaan  yang mengenang budi. Kita tidak akan membiarkan wirawan dan wirawati  tanpa pembelaan yang sewajarnya. Kita tidak sekali-kali seperti setengah  pihak yang menafi dan memperlekehkan jasa bakti mereka. Sesungguhnya,  keringat dan air mata mereka serta keluarga yang membasahi bumi bertuah  ini akan terus malar dan segar dalam sanubari dan ingatan setiap rakyat  Malaysia. Sebagai mengenang jasa bakti mereka, Kerajaan akan memberi  sumbangan sebanyak tiga ribu ringgit secara one-off kepada setiap bekas  anggota serta duda dan balu mereka yang kesemuanya berjumlah hampir  62,000 orang. Sumbangan ini sedikit sebanyak diharapkan dapat membantu  meringankan kos sara hidup.
Tuan Yang di-Pertua,
FOKUS KELIMA: MEREDAKAN INFLASI DAN MENGIMARAH KEHIDUPAN RAKYAT
69.  Kerajaan mendengar rintihan rakyat tentang kenaikan harga barang  terutamanya bahan makanan. Bagi menangani fenomena ini, Kerajaan akan  mengambil langkah-langkah yang bersepadu bersifat jangka pendek,  sederhana dan panjang. Antaranya meningkatkan pengeluaran makanan  seperti beras, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan melalui langkah  berikut:
Pertama: Melancarkan Dasar Agro Makanan Negara 2011  hingga 2020 yang menggariskan empat strategi iaitu menjamin bekalan  makanan mencukupi, meningkatkan nilai ditambah, melengkapkan dan  memperkukuhkan rantaian bekalan serta menyediakan guna tenaga pertanian  berpengetahuan dan terlatih;
Kedua: Memperuntukkan 1.1 bilion  ringgit pada 2012 bagi pembangunan sektor pertanian. Antara projek utama  adalah Projek Pertanian Bersepadu Terengganu Utara, Projek Pengairan  Sabah dan Sarawak, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga atau TEKUN dan  projek-projek lain di bawah NKEA;
Ketiga: Memperluaskan skop  pembiayaan Dana Pertanian Komersial kepada projek pertanian berinovasi.  Dengan ikhtiar ini, jumlah dan pendapatan usahawan tani dapat  dipertingkatkan. Peruntukan 300 juta ringgit akan disediakan; dan
Keempat:  Memperbanyakkan program ladang kontrak bagi mempastikan bekalan produk  makanan mencukupi. Program ini akan dikendalikan oleh FAMA di mana hasil  keluaran akan dipasarkan terus ke pasar tani seluruh negara. Seramai  4,500 usahawan tani akan terlibat dengan keluasan tanah 7,000 hektar.  Untuk tujuan ini, peruntukan 14 juta ringgit disediakan.
Tuan Yang di-Pertua,
70.  Kita kini mendengar pihak-pihak tertentu menguar-uarkan konsep negara  berkebajikan. Kita ucapkan tahniah kepada mereka kerana baru sedar  terhadap konsep negara kebajikan ini. Namun, kita minta mereka ada  sedikit rasa keikhlasan politik, janganlah berlagak seolah-olah  merekalah orang pertama yang menemui formula ini. Bukankah Kerajaan  Barisan Nasional sudah sejak sekian lama mengamalkan konsep negara  berkebajikan? Tidakkah berkebajikan kerajaan Barisan Nasional kini,  apabila:
Pertama: Bagi setiap kilogram beras super tempatan,  harga asal 2 ringgit 40 sen, rakyat hanya bayar 1 ringgit 80 sen.  Subsidi Kerajaan berjumlah 60 sen atau 25 peratus dari harga sebenar;
Kedua:  Bagi setiap kilogram gula, harga asal 2 ringgit 50 sen, rakyat hanya  bayar 2 ringgit 30 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 20 sen atau 8 peratus  dari harga sebenar;
Ketiga: Bagi setiap kilogram minyak masak,  harga asal 4 ringgit 75 sen, rakyat hanya bayar 2 ringgit 50 sen.  Subsidi Kerajaan berjumlah 2 ringgit 25 sen atau 47 peratus dari harga  sebenar; dan
Keempat: Bagi setiap kilogram tepung gandum, harga  asal 1 ringgit 90 sen, rakyat hanya bayar 1 ringgit 35 sen. Subsidi  Kerajaan berjumlah 55 sen atau 29 peratus dari harga sebenar.
Kesimpulannya,  keseluruhan subsidi bahan makanan asas ini menelan belanja 2.3 bilion  ringgit dan dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaya  atau miskin, bandar atau luar bandar. Oleh yang demikian itu, kita ingin  bertanya, tidakkah ini dinamakan negara kebajikan?
Tuan yang di-Pertua,
71.  Tidak cukup sekadar itu, subsidi Kerajaan bukan terhad hanya kepada  bahan makanan asas sahaja, ia juga merangkumi subsidi produk petroleum  dan bantuan tunai yang melibatkan sebanyak 17 bilion ringgit. Ini  meliputi:
Pertama: Bagi setiap liter petrol RON95, harga asal 2  ringgit 75 sen, rakyat hanya bayar 1 ringgit 90 sen. Subsidi Kerajaan  berjumlah 85 sen atau 31 peratus dari harga sebenar;
Kedua: Bagi  setiap liter diesel, harga asal 2 ringgit 66 sen, rakyat hanya bayar 1  ringgit 80 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 86 sen atau 32 peratus dari  harga sebenar; dan
Ketiga: Bagi setiap tong 14 kilogram gas  memasak, harga asal 48 ringgit 2 sen, rakyat hanya bayar 26 ringgit 60  sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 21 ringgit 42 sen atau 45 peratus dari  harga sebenar.
72. Selain itu, Kerajaan juga akan meneruskan  pemberian subsidi bil elektrik berjumlah 20 ringgit sebulan dan ke bawah  yang telah dilaksanakan sejak 2009. Pemberian subsidi ini melibatkan  peruntukan 150 juta ringgit dan seramai 1 juta isi rumah akan mendapat  manfaat.
Untuk makluman, segala subsidi, insentif dan bantuan ini  berjumlah 33.2 bilion ringgit. Semuanya dengan semangat Rakyat  Didahulukan.
Tuan Yang di-Pertua,
73. Bagi tahun 2012,  Kerajaan akan menyediakan 1.2 bilion ringgit untuk program Kebajikan  Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA yang merangkumi bantuan kepada warga emas  miskin sebanyak 300 ringgit sebulan; bantuan kanak-kanak miskin 100  ringgit sebulan, dengan had maksimum 450 ringgit sebulan serta bantuan  dan elaun kepada Orang Kurang Upaya (OKU) antara 150 hingga 300 ringgit  sebulan. KAR1SMA akan memberi manfaat kepada hampir 500 ribu rakyat  dalam membantu meringankan beban sara hidup.
74. Selanjutnya,  Kerajaan juga akan mengambil langkah bagi membendung kenaikan kos dan  harga serta membantu mengurangkan beban rakyat seperti berikut:
Pertama:  Menambah bilangan Kedai Rakyat 1Malaysia ke seluruh negara. KR1M  menawarkan 250 jenis produk berjenama 1Malaysia meliputi keperluan  harian pengguna pada harga sehingga 40 peratus lebih rendah.  Memandangkan sambutan yang amat menggalakkan, Kerajaan juga bercadang  membuka 85 unit tambahan sehingga akhir 2012 dengan peruntukan 40 juta  ringgit;
Kedua: Membuka 30 unit Agro Bazaar Kedai Rakyat di  seluruh negara bagi memasarkan produk pertanian dan barangan berjenama  1Malaysia. Di samping itu, Kerajaan akan memperluaskan penjualan produk  1Malaysia di semua kedai di bawah Program Transformasi Kedai Runcit  (TUKAR), kedai FELDA dan kedai serbaneka stesen minyak seluruh negara;  dan
Ketiga: Memperluas dan mempromosi Menu Rakyat 1Malaysia yang  menawarkan pakej menu makanan popular pada harga yang berpatutan iaitu  maksimum dua ringgit bagi sarapan pagi dan empat ringgit bagi makan  tengah hari. Sehingga kini, lebih 700 pengusaha telah mengambil bahagian  dan dijangka diperluaskan kepada 3,000 pengusaha pada akhir 2012. Untuk  mengembangkan lagi langkah ini, Kerajaan menggalakkan semua pengusaha  kafeteria di pejabat Kerajaan dan swasta melaksanakan inisiatif Menu  Rakyat 1Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua,
75. Bagi memenuhi  permintaan rumah golongan berpendapatan kurang daripada 3,000 ringgit,  Kerajaan telah melancarkan Skim Rumah Pertamaku pada Mac 2011. Untuk  menambah baik skim ini, Kerajaan mencadangkan had maksimum harga rumah  dinaikkan daripada 220 ribu kepada 400 ribu ringgit. Penambahbaikan ini  boleh dinikmati oleh pembeli rumah melalui pinjaman bersama suami isteri  bermula Januari 2012.
76. Bagi membantu pembeli mencapai impian  mereka memiliki rumah pertama, pihak kerajaan telah menubuhkan Perumahan  Rakyat 1Malaysia atau PR1MA sebagai satu agensi tunggal yang berperanan  untuk membangun dan menyelenggarakan perumahan mampu milik berkualiti  khusus untuk memenuhi keperluan golongan berpendapatan sederhana. PR1MA  akan berperanan sebagai pemaju untuk projek yang diadakan di tapak  pemilikan Kerajaan. Justeru, Kerajaan bercadang untuk memajukan beberapa  bidang tanah pemilikan Kerajaan di sekitar Sungai Besi dan Sungai Buloh  untuk projek sedemikian. Kerajaan juga akan mengenalpasti  kawasan-kawasan berhampiran stesen MRT, LRT atau pengangkutan awam  sebagai kawasan pilihan utama untuk dimajukan oleh PR1MA.
77. Di  samping itu, PR1MA juga mengalu-alukan kerjasama antara pihak swasta  untuk membangunkan projek-projek sedemikian. Sehubungan dengan itu,  beberapa pemaju swasta juga telah menyahut seruan Kerajaan untuk  menyediakan rumah mampu milik berkualiti. PR1MA akan memainkan peranan  supaya proses pengagihan untuk projek-projek ini dijalankan secara telus  dan adil melalui sistem pengundian terbuka. Pada tahun 2011, sebanyak  1,880 unit rumah akan mula dibina di Putrajaya dan Bandar Tun Razak.
78.  Bagi tahun 2012 pula, 7,700 unit rumah akan dibina di Cyberjaya, Putra  Heights, Seremban, Damansara dan Bukit Raja. Harga rumah yang ditawarkan  di bawah skim ini lebih rendah berbanding dengan harga pasaran  disebabkan tanah dan dana mudahcara disediakan kepada pemaju. Sebagai  contoh, satu unit apartmen dengan keluasan 1,000 kaki persegi di  Putrajaya dijual pada harga 150 ribu ringgit berbanding harga pasaran  220 ribu ringgit. Kerajaan juga akan memberi pengecualian sepenuhnya  duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman di bawah program ini.
79.  Pada kebiasaannya, rumah dijual sebelum pembinaan bermula di mana  pembeli akan menanggung risiko sekiranya rumah tidak siap atau lewat  disiapkan. Bagi melindungi pembeli, Kerajaan menggalakkan lebih banyak  pembinaan rumah menggunakan kaedah bina kemudian jual. Untuk tujuan ini,  bank-bank Islam yang telah bersetuju akan menyediakan pembiayaan patuh  syariah dan mengambil risiko pembinaan. Pembeli hanya membayar ansuran  setelah rumah siap dibina. Skim ini akan dilaksanakan bagi rumah  bernilai 600 ribu ringgit dan ke bawah.
80. Masih ramai lagi  rakyat yang belum memiliki rumah, terutamanya golongan berpendapatan  rendah. Justeru, Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan Program Perumahan  Rakyat (PPR) di seluruh negara dengan membina lebih 75 ribu unit rumah  mampu milik di bawah RMKe-10. Bagi tahun 2012, 443 juta ringgit di  peruntukan bagi membina hampir 8,000 unit PPR disewa dan lebih 7,000  unit PPR dimiliki.
81. Selain itu, Program Rumah Mesra Rakyat  yang dikendalikan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan  diteruskan bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah  lebih selesa. Di bawah program ini, mereka yang mempunyai tanah  persendirian dan tidak memiliki rumah atau tinggal di rumah usang, boleh  mendapatkan pembiayaan untuk membina rumah sendiri. SPNB akan diberikan  peruntukan tambahan untuk membina 10 ribu unit Rumah Mesra Rakyat pada  tahun 2012. Kos rumah yang berharga 65 ribu ringgit ini, akan dijual  dengan harga 45 ribu ringgit sahaja. Di sini, bagi setiap unit rumah,  Kerajaan akan memberi subsidi sejumlah 20 ribu ringgit. Sebanyak 200  juta ringgit akan diperuntukkan untuk program ini.
82. Selain  itu, melalui Program Pemulihan Rumah Terbengkalai, Kerajaan berjaya  memulihkan dan mendapat Sijil Layak Menduduki (CF) bagi 82 projek yang  melibatkan lebih 15,000 unit rumah. Kerajaan akan terus melaksanakan  usaha murni ini pada tahun 2012 dengan peruntukan 63 juta ringgit untuk  memulihkan 1,270 unit rumah terbengkalai. Kerajaan juga memperuntukkan  40 juta ringgit bagi membaik pulih dan menyelenggarakan rumah kos rendah  awam dan swasta.
83. Golongan ekspatriat turut menyumbang kepada  pembangunan ekonomi negara. Jumlah ekspatriat yang bekerja di Malaysia  telah meningkat kepada lebih kurang 41 ribu orang. Untuk menyediakan  suasana kondusif bagi menggalakkan ekspatriat terus berkhidmat di  Malaysia, Kerajaan akan membenarkan golongan ini mengeluarkan caruman  KWSP untuk pembiayaan pinjaman perumahan, sama seperti kemudahan yang  diberi kepada warganegara.
84. Kepada para nelayan, Kerajaan  bersimpati dengan kesukaran yang dihadapi mereka ini yang tiada  pendapatan tetap dan bergantung semata-mata kepada hasil tangkapan. Kita  maklum bahawa, kebanyakan nelayan memiliki rumah yang daif dan kurang  selesa. Sehubungan itu, Kerajaan akan mewujudkan Tabung Khas Perumahan  Nelayan dengan peruntukan 300 juta ringgit untuk membina dan membaik  pulih rumah mereka agar menjadi lebih selesa dengan prasarana asas.
Tuan Yang di-Pertua
85.  Kerajaan akan terus menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk  rakyat, terutamanya rawatan berkualiti, peralatan terkini serta  persekitaran lebih selesa. Bagi tahun 2012, sektor perkhidmatan  kesihatan akan diperuntukkan 15 bilion ringgit untuk perbelanjaan  mengurus dan 1.8 bilion ringgit bagi perbelanjaan pembangunan. Ini  melibatkan antaranya pembinaan dan menaik taraf hospital termasuk di  Bera, Kuala Krai, Dungun, Sri Aman dan Tuaran serta menambah baik blok  bersalin di Hospital Putrajaya. Kerajaan juga akan menambah baik 81  klinik kesihatan luar bandar di seluruh negara dan membuka 50 klinik  1Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua,
86. Kerajaan amat prihatin  dengan keselesaan rakyat terbanyak. Untuk itu, Hentian Pudu Raya yang  digunakan oleh hampir 80,000 pengguna pada satu-satu masa, yang  dahulunya dalam keadaan daif dan kotor, telah dinaiktaraf dengan belanja  sebanyak 40 juta ringgit. Kini, Hentian Pudu Raya telah berwajah baru  dan dinamakan semula sebagai Pudu Sentral.
87. Langkah yang sama  akan diambil untuk menambah baik Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang  merupakan nadi perkhidmatan kesihatan di kota dan dikunjungi hampir  3,000 pesakit luar setiap hari. Demi keselesaan warga kota, hospital  yang berusia 141 tahun dan merupakan hospital tertua di Malaysia ini  akan dinaiktaraf supaya menjadi sebuah hospital primer negara dilengkapi  dengan peralatan terkini dan canggih dengan peruntukan 300 juta  ringgit. Dari peruntukan ini, 50 juta ringgit akan digunakan untuk  membina sebuah sayap baru HKL khusus untuk rawatan pesakit luar.
88.  Kerajaan juga memahami beban kerja pegawai perubatan di mana mereka  bertugas berterusan melebihi 45 hingga 120 jam seminggu. Situasi ini  sememangnya tidak kondusif untuk mereka memberi rawatan berkualiti. Oleh  yang demikian, Kerajaan telah memperkenalkan jadual kerja luwes atau  fleksi Pegawai Perubatan Siswazah, di mana waktu kerja di jadual semula  kepada purata 60 jam seminggu. Bagi menggantikan Elaun Luar Waktu  Bekerja Biasa, Kerajaan memperkenalkan Elaun Khas Waktu Bekerja Fleksi  sebanyak 600 ringgit sebulan berkuat kuasa 1 September 2011. Bagi pakar  dan pegawai perubatan, Kerajaan juga bersetuju menaikkan elaun on-call  semalaman antara 30 hingga 80 ringgit berkuat kuasa pada tarikh yang  sama.
Tuan Yang di-Pertua,
89. Untuk menambah pendapatan  boleh guna dan menggalakkan minat melabur di kalangan golongan  berpendapatan rendah, Kerajaan akan memperkenalkan Skim Amanah Rakyat  1Malaysia atau SARA 1Malaysia yang amat bitara atau istimewa. Skim ini  dibuka kepada isi rumah berpendapatan bulanan 3,000 ringgit dan ke bawah  yang akan memanfaatkan 100 ribu isi rumah. Pelabur SARA 1Malaysia boleh  memohon pinjaman 5,000 ringgit dengan tempoh bayaran balik lima tahun.  Pada akhir tempoh lima tahun, pelabur dijangka mendapat pulangan bersih  yang menarik. Skim ini akan dikendalikan oleh Permodalan Nasional Berhad  dengan kerjasama institusi kewangan terpilih mulai Januari 2012.
90.  Bagi mempastikan masyarakat Bumiputera bergerak seiring dengan  perkembangan ekonomi, Kerajaan telah menubuhkan Unit Peneraju Agenda  Bumiputera (TERAJU) untuk menyelaras dan memacu transformasi serta  memperkukuhkan penyertaan masyarakat Bumiputera dalam perniagaan. Untuk  ini, TERAJU akan membimbing secara berperingkat hampir 1,100 syarikat  Bumiputera yang berprestasi tinggi dan berpotensi untuk disenaraikan di  bursa saham. Di samping itu, MARA akan menyediakan pembiayaan modal  kepada warga syarikat korporat yang berkelayakan untuk pembelian ekuiti  serta pengambilalihan syarikat berasaskan konsep Management Buyout.
91.  Pembangunan usahawan merupakan faktor terpenting bagi melonjak aktiviti  ekonomi Bumiputera. Selaras dengan itu, program pembangunan usahawan  yang bersepadu akan dilaksana bagi meningkatkan daya saing dan daya maju  usahawan Bumiputera termasuk masyarakat luar bandar. Justeru, Kerajaan  akan memperuntukkan 200 juta ringgit bagi program pembangunan usahawan  dan kontraktor Bumiputera di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan  Wilayah.
Tuan Yang di-Pertua,
92. Pada perspektif lain,  Kerajaan sentiasa peka dan mengambil berat beban yang ditanggung oleh  pemilik teksi bajet persendirian akibat kos operasi yang meningkat.  Tambahan pula, sebahagian besar teksi yang dimiliki telah melebihi  jangka hayat ekonomi. Selain menjaga kebajikan serta menambah baik  perkhidmatan teksi, Kerajaan mencadangkan pemilik teksi bajet  persendirian diberi bantuan seperti berikut:
Pertama: Pengecualian 100 peratus duti eksais dan cukai jualan ke atas pembelian teksi baru buatan tempatan;
Kedua:  Pengecualian bayaran balik duti eksais dan cukai jualan ke atas teksi  yang berusia lebih dari tujuh tahun yang dijual atau ditukar milik;
Ketiga: Memansuhkan cukai jalan ke atas teksi bajet milikpersendirian;
Keempat:  Pemberian subsidi kadar faedah dua peratus ke atas pinjaman penuh untuk  memiliki teksi baru buatan tempatan. Skim pinjaman ini yang diuruskan  oleh BSN akan ditawarkan untuk tempoh dua tahun bermula 1 Januari 2012;  dan
Kelima: Pemberian bantuan 3,000 ringgit bagi melupuskan teksi  lama yang berusia melebihi tujuh tahun tetapi kurang daripada 10 tahun.  Bagi teksi yang berusia 10 tahun dan ke atas, bantuan 1,000 ringgit  akan diberikan. Bantuan ini ditawarkan bagi pembelian kereta baru buatan  tempatan untuk tempoh dua tahun mulai 1 Januari 2012.
93.  Kerajaan berharap dengan pemberian bantuan ini, pemandu teksi dapat  memberi perkhidmatan lebih berkualiti, mesra pelanggan dan sekali gus  menaikkan imej negara yang mesra pelancong. Bagi kesemua bantuan di  atas, setiap pemilik teksi bajet persendirian dijangka mendapat manfaat  kira-kira 7,560 ringgit. Pemberian bantuan kepada pemilik teksi bajet  ini juga dipanjangkan kepada pemilik kereta sewa persendirian.
Tuan Yang di-Pertua,
94.  Kerajaan komited untuk mempastikan bahawa tidak ada orang yang dituduh  atas kesalahan jenayah ternafi haknya untuk di guami. Pada kala ini,  dianggarkan 80 peratus Orang Kena Tuduh dalam kes jenayah yang tidak  mempunyai peguam untuk membela mereka kerana tidak berkemampuan bagi  membayar fi guaman yang tinggi. Untuk ini, Yayasan Bantuan Guaman  Kebangsaan akan mempastikan setiap individu yang didakwa di mahkamah  akan diberi bantuan guaman secara percuma. Bagi maksud tersebut,  Kerajaan akan menambah 10 juta ringgit lagi kepada yayasan pada tahun  hadapan membawa jumlah keseluruhan sebanyak 15 juta ringgit.
Tuan Yang di-Pertua,
95.  Bagi mempastikan kebajikan rakyat terus terbela, Kerajaan telah  menyediakan pusat khidmat bantuan sosial yang dikenali sebagai Anjung  Singgah untuk memberi perlindungan sementara golongan gelandangan. Pusat  ini menyediakan khidmat bantuan pekerjaan, kemudahan tempat tinggal dan  makanan, kaunseling serta bantuan kebajikan. Pada masa ini, terdapat  hampir 1,400 orang gelandangan di Kuala Lumpur yang mendaftar dengan  Jabatan Kebajikan Masyarakat dan daripada jumlah tersebut, 250 orang  telah mendaftar dengan Anjung Singgah. Program ini akan diperluaskan ke  Johor, Pulau Pinang dan Sarawak.
Tuan Yang di-Pertua,
96.  Kerajaan sentiasa mengiktiraf keupayaan wanita dalam bidang kepimpinan  dan pengurusan. Sehubungan itu, Kerajaan telah meluluskan Dasar  Sekurang-kurangnya 30 Peratus Wanita di Peringkat Pembuat Keputusan  Dalam Sektor Korporat. Bagi melaksanakan dasar tersebut, antara yang  utama, Kerajaan akan menjalankan program latihan bagi wanita yang  berpotensi menjadi ahli lembaga pengarah syarikat, membangunkan  pangkalan data wanita berpotensi untuk diketengahkan sebagai pengarah  syarikat dan mempergiatkan aktiviti advokasi. Bagi menarik golongan  profesional wanita untuk kembali ke pasaran pekerjaan, Kerajaan juga  akan menyediakan program latihan yang bersesuaian. Bagi melaksanakan  program-program latihan ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan 10  juta ringgit.
97. Pada tahun 2011, Kerajaan telah memperuntukkan  120 juta ringgit kepada TEKUN. Bagi memberi rangsangan kepada usahawan  kecil, saya mencadangkan peruntukan ini ditambah lebih sekali ganda lagi  kepada 300 juta ringgit. Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) juga akan  menyediakan 2.1 bilion ringgit untuk pembiayaan pinjaman mikro kepada  usahawan terutamanya wanita. Daripada jumlah tersebut, 100 juta ringgit  disediakan untuk usahawan kaum India dan 100 juta ringgit lagi kepada  usahawan kaum Cina melalui satu unit khas di bawah AIM. Untuk  mengurangkan kos pengendalian peniaga dan usahawan mikro, Kerajaan  mencadangkan surat cara perjanjian pembiayaan mikro kredit diberi  pengecualian duti setem.
98. Pada masa ini, barah pangkal rahim  (kanser servik) merupakan barah kedua tertinggi di kalangan wanita  Malaysia. Kemajuan dalam sains perubatan telah membolehkan penyakit ini  boleh dicegah melalui suntikan imunisasi. Kementerian Pelajaran Malaysia  dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia telah melaksanakan  suntikan imunisasi secara percuma kepada murid perempuan tingkatan satu  di semua sekolah Kerajaan, bantuan Kerajaan, swasta dan antarabangsa  mulai bulan April hingga Mei 2010.
99. Bagi membolehkan lebih  ramai wanita untuk mendapatkan kemudahan imunisasi, Kerajaan akan  menyediakan perkhidmatan suntikan percuma imunisasi HPV (Human Papilloma  Virus) yang akan dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Perancang  Keluarga Negara di seluruh negara. Kos imunisasi ini adalah 150 ringgit  bagi tiga suntikan. Untuk tujuan ini, peruntukan 50 juta ringgit akan  disediakan pada tahun 2012.
100. Di samping itu, untuk menjamin  kesihatan para ibu dan anak, maka sebuah hospital khusus untuk kaum  wanita dan kanak-kanak akan dibina di Kuala Lumpur melalui perkongsian  awam swasta dengan kos 700 juta ringgit.
Tuan Yang di-Pertua,
101.  Golongan belia adalah generasi yang menyumbang dan merealisasi wawasan  negara. Generasi muda perlu diperlengkap dengan latihan dan kemahiran  bagi mempastikan peranan mereka dalam pembangunan negara. Untuk ini,  Kerajaan akan memperuntukkan 320 juta ringgit bagi menjalankan pelbagai  aktiviti termasuk latihan kemahiran, program kepimpinan, daya tahan dan  keusahawanan di peringkat daerah dan negeri termasuk sumbangan kepada  Majlis Belia Malaysia, Majlis Belia Negeri dan Majlis Belia Daerah.
102.  Apa yang diusahakan pada hari ini bukanlah untuk kita. Akan tetapi,  demi masa depan anak-anak kita. Potensi setiap golongan ini mestilah  digembleng dan dioptimumkan, idealisme mereka mesti digilap, kreativiti  mesti dipupuk dan bakat mereka dibajai untuk terus berkarya. Pujangga  berpesan agar mendidik anak-anak sesuai dengan zaman mereka. Kalau kita  dahulu ingin dilayan sesuai kehendak kita sebagai orang muda, begitu  juga anak-anak zaman sekarang.
103. Selaras dengan itu, Kerajaan  juga sedar kekangan institusi yang ada kini dalam mengeluarkan bantuan  kepada idea-idea kreatif. Kita perlu bertanya, jika dengan struktur  pembiayaan sedia ada yang kaku dan tegar, adakah idea orang-orang  seperti Bill Gates, mendiang Steve Jobs, Michael Dell, adik-beradik  Wrights, Thomas Edison boleh berjaya? Lantaran, berapa banyak idea dan  karya telah dibakul sampahkan yang berkemungkinan bernilai  berbilion-bilion ringgit. Bertolak dari situ, Kerajaan prihatin terhadap  suara dan nurani orang muda. Sebagai projek perintis, kita bersetuju  untuk menubuhkan sebuah syarikat modal teroka milik Kerajaan yang  bernama MyCreative Venture Capital dengan dana permulaan 200 juta  ringgit.
104. Manakala sebanyak 200 juta ringgit lagi akan  disediakan untuk latihan dan kemahiran belia yang tidak meneruskan  pengajian persekolahan melalui Program Strategik untuk Belia 1Malaysia  atau Strategic Action for Youth atau SAY 1Malaysia. Skim ini akan  menyediakan pelbagai jenis latihan kemahiran yang dikendalikan oleh  institusi sedia ada seperti Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Mara,  Institut Latihan Perindustrian dan Giat Mara. Semasa latihan, pelatih  akan diberi latihan praktikal di GLC dan syarikat swasta supaya mereka  mudah mendapat pekerjaan.
105. Pada masa ini, futsal semakin  popular di kalangan belia dan peminat sukan. Bagi menggalakkan aktiviti  sukan ini, Kerajaan telah siap membina 1,100 gelanggang futsal di  seluruh negara, manakala 527 lagi sedang dalam pembinaan. Memandangkan  populariti sukan tersebut, Kerajaan akan menyediakan peruntukan 15 juta  ringgit bagi membina 150 gelanggang futsal tambahan agar matlamat Satu  Gelanggang Satu Mukim dapat dicapai. Bagi meningkatkan aktiviti riadah  terutama sukan bola sepak, Kerajaan akan memperuntukkan 50 juta ringgit  bagi menyediakan kemudahan padang tiruan atau artificial turf yang  dilengkapi dengan lampu limpah di 30 lokasi terpilih seluruh negara.
106.  Program sukan berprestasi tinggi termasuk bola sepak, badminton,  skuasy, boling tenpin, acara terjun, memanah dan lumba basikal akan juga  diberi tumpuan. Untuk ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan  tambahan 30 juta ringgit menjadikan keseluruhan peruntukan 84 juta  ringgit bagi program mengasah bakat atlet muda supaya mereka dapat  bersaing dan berjaya dalam kejohanan sukan di peringkat antarabangsa.
107.  Tidak pernah dilupakan adalah kebajikan warga emas terutamanya untuk  mereka mendapatkan kemudahan awam seperti perkhidmatan kesihatan dan  pengangkutan. Sukacita saya mengumumkan, mulai 1 Januari 2012, semua  warganegara berumur 60 tahun dan ke atas akan dikecualikan caj  pendaftaran pesakit luar di semua hospital dan klinik kesihatan termasuk  klinik 1Malaysia serta pergigian milik Kerajaan. Mereka juga akan  diberi diskaun 50 peratus tambang LRT dan Monorel.
108. Dalam  Bajet 2011, bagi mempastikan pekerja swasta dan mereka yang bekerja  sendiri mempunyai simpanan mencukupi semasa bersara, saya telah  mengumumkan pelepasan cukai sehingga 6 ribu ringgit untuk caruman kepada  KWSP dan insurans hayat diperluaskan bagi meliputi caruman kepada Dana  Pencen Swasta, kini dikenali sebagai Skim Persaraan Swasta. Bagi terus  menjamin kesejahteraan rakyat di usia persaraan di samping mempromosi  skim persaraan swasta yang dijangka dapat merancakkan pembangunan  pasaran modal, saya mencadangkan:
Pertama: Pelepasan cukai baru  sehingga 3 ribu ringgit ke atas caruman dalam Skim Persaraan Swasta dan  anuiti insurans selama 10 tahun. Dengan ini, pelepasan cukai sedia ada  ke atas Skim Persaraan Swasta dan anuiti insurans dirasionalkan;
Kedua: Potongan cukai ke atas caruman majikan bagi pekerja dalam Skim Persaraan Swasta; dan
Ketiga: Pengecualian cukai ke atas pendapatan dana Skim Persaraan Swasta.
109.  Kini pesara menghadapi kekurangan simpanan untuk menampung kos saraan  hidup setelah bersara. Kajian menunjukkan hampir 70 peratus menghabiskan  kesemua simpanan mereka dalam tempoh 10 tahun selepas bersara. Bagi  meningkatkan simpanan untuk hari tua, Kerajaan mencadangkan supaya  caruman majikan dinaikkan daripada 12 peratus kepada 13 peratus bagi  pencarum yang menerima gaji bulanan 5,000 ringgit dan ke bawah. Langkah  ini akan memanfaatkan seramai 5.3 juta pencarum KWSP.
Tuan Yang di-Pertua,
110.  Ada juga pihak yang sentiasa memfitnah Kerajaan bahawa Kerajaan hanya  berminat dengan projek mega yang bernilai berbilion-bilion. Sesungguhnya  tuduhan ini amatlah memesongkan. Bukankah tercatat dalam lipatan  sejarah bahawa Kerajaan Perikatanlah yang bertanggungjawab menubuhkan  Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar lebih 50 tahun yang lalu  dan mempelopori pembangunan secara sistematik? Sebagai kesinambungan  tradisi mulia ini, Kerajaan akan memberi nafas baru kepada kawasan  pedalaman luar bandar termasuk kampung tradisional, rumah panjang dan  kampung baru. Melalui Program Transformasi Luar Bandar atau RTP,  Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak satu bilion ringgit untuk membina  dan menaiktaraf kemudahan seperti balai raya, surau, parit, jambatan  kecil, lampu jalan termasuk memperbaiki rumah yang usang. Inisiatif ini  akan dilaksanakan dan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan.
Tuan Yang di-Pertua,
111.  Air bah atau banjir merupakan bencana utama negara dan setiap tahun  Kerajaan membelanjakan satu bilion ringgit bagi menampung kos kerugian  dalam pelbagai aspek kehidupan. Pada masa ini, terdapat 4 juta penduduk  yang masih tinggal di kawasan berisiko banjir. Sebagai tindakan awal,  Kerajaan akan melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Perlis,  Perak dan Johor dengan kos satu bilion ringgit. Di Perlis, dua projek  RTB iaitu naik taraf empangan Timah Tasoh Fasa 2 dan melebar serta  mendalam Sungai Arau akan dilaksanakan. Di Perak, tiga projek RTB di  Sungai Kerian, Sungai Kurau dan Kolam Bukit Merah. Manakala bagi Johor,  projek RTB akan dilaksanakan di bandar dan Sungai Segamat.
Tuan Yang di-Pertua,
112.  Dalam usaha untuk terus meringankan belanja seharian rakyat termasuklah  dalam menyekolahkan anak-anak, Kerajaan bercadang membuat pemberian  tunai secara one-off atau sekali sahaja seperti berikut:
Pertama:  Bantuan sebanyak 500 ringgit kepada isi rumah berpendapatan bulanan  3,000 ringgit dan ke bawah. Langkah yang julung kali diambil ini  membuktikan keprihatinan Kerajaan terhadap golongan berpendapatan rendah  akibat kenaikan kos sara hidup. Seramai 3.4 juta isi rumah atau 53  peratus daripada jumlah keseluruhan isi rumah dijangka mendapat manfaat  daripada bantuan ini. Pemberian ini melibatkan peruntukan sebanyak 1.8  bilion ringgit. Untuk menerima bantuan ini, ketua isi rumah yang layak  hendaklah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai agensi  pelaksana. Bantuan ini akan disalurkan melalui bank dan Pejabat Pos;
Kedua:  Bantuan persekolahan 100 ringgit diberi kepada semua pelajar sekolah  rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh  negara. Memandangkan bantuan ini disasarkan kepada keluarga yang  berpendapatan rendah dan sederhana, atas dasar kebertanggungjawaban  sosial, terpulanglah kepada budi bicara penjaga atau ibu bapa yang  berkemampuan untuk menerima atau tidak. Di atas semuanya, langkah ini  dijangka dapat meringankan beban perbelanjaan persekolahan. Bantuan ini  dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 5.3 juta pelajar dan  melibatkan peruntukan 530 juta ringgit. Bantuan ini juga akan  dilaksanakan melalui akaun Bank Simpanan Nasional; dan
Ketiga:  Pemberian baucar buku bernilai 200 ringgit kepada semua pelajar  warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta  tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam di seluruh negara.  Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1.3 juta pelajar  dan melibatkan peruntukan 260 juta ringgit.
Tuan Yang di-Pertua,
113.  Kita sedang berada dalam bulan Zulhijjah dan seruan haji sebagai Rukun  Islam kelima sentiasa saja berkumandang kepada hamba-hambaNya untuk  menuju Baitullah dari mana saja penjuru dunia. Dalam hal ini, Kerajaan  menyedari, ramai golongan berpendapatan rendah menghadapi masalah untuk  mendaftar dan mendapat giliran haji kerana tidak mempunyai tabungan  minima sebanyak 1,300 ringgit. Justeru, bagi membolehkan bakal jemaah  mendaftar untuk menunaikan ibadah haji, Kerajaan dengan ini membenarkan  pencarum KWSP membuat pendaftaran awal melalui penghadangan atau  ring-fencing Akaun 2 pencarum sebanyak 1,300 ringgit. Melalui kaedah  ini, wang pencarum sejumlah 1,300 itu masih kekal dalam KWSP tetapi  pencarum sudah boleh mendaftar giliran untuk menunaikan haji.
Tuan Yang di-Pertua,
114.  Kerajaan yakin penjawat awam akan terus mempertingkatkan kualiti  perkhidmatan dalam mempastikan agenda pembangunan nasional menjadi  kenyataan. Dalam konteks ini, seperti yang semua ketahui, pada bulan  Ogos yang lalu, Kerajaan telah pun membayar bonus setengah bulan gaji  dengan bayaran minimum 500 ringgit kepada penjawat awam dan bayaran  bantuan 500 ringgit kepada pesara.
115. Berdasarkan sokongan dan  komitmen penjawat awam yang tidak terhargakan dalam mencapai matlamat  pembangunan negara, sukacita saya mengumumkan tambahan bonus setengah  bulan gaji dengan bayaran minimum 500 ringgit dan bayaran bantuan 500  ringgit kepada pesara Kerajaan. Bayaran ini akan dibuat bersekali dengan  gaji bulan Disember 2011. Ini akan menjadikan jumlah bonus bagi tahun  2011 bersamaan sebulan gaji dengan bayaran minimum seribu ringgit bagi  penjawat awam dan bantuan seribu ringgit bagi pesara Kerajaan. Bayaran  ini akan memanfaatkan 1.3 juta penjawat awam serta 618 ribu pesara  Kerajaan. Bayaran bonus dan bantuan dua kali pada tahun ini akan menelan  belanja sebanyak 4 bilion ringgit.
116. Menyedari tanggungjawab,  tugas serta beban kerja Ahli-ahli Parlimen yang semakin bertambah dari  hari ke hari dan perlunya kita memupuk budaya politik baru bersesuaian  dengan Program Transformasi Politik yang saya umumkan baru-baru ini,  maka, Kerajaan dengan ini bercadang untuk mengkaji semula elaun dan  kemudahan Ahli-ahli Parlimen sekalian. Dengan syarat.....kedua-dua belah  pihak, parti Kerajaan dan parti pembangkang mestilah seiya sekata  bersetuju. Termasuklah yang bebas-bebas itu. Setelah dipersetujui nanti,  elaun baru ini akan berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan.
PENUTUP
Tuan Yang di-Pertua,
117.  Saya dan rakan-rakan Jemaah Menteri dan anggota Dewan dari parti  Barisan Nasional berdiri dengan nubari yang jernih bahawa kami melalui  Bajet 2012 pada petang yang mulia penghulu segala hari ini, sekali lagi  akan meneruskan tradisi para pendahulu kami dalam meletakkan kebajikan  rakyat dan kesejahteraan negara di tempat yang teratas.
118. Apa  yang menjadi keutamaan kepada kami bukannya nostalgia lampau apatah lagi  populariti murahan. Yang terjunjung di atas jemala kami sebagai  Kerajaan yang bertanggungjawab adalah menyediakan masa depan  gilang-gemilang buat semua anak-anak Malaysia. Sebuah masa depan  bergemerlapan dengan harapan dan kemakmuran bukannya masa depan suram  dicengkam ketakutan.
119. Sesungguhnya, bersesuaian dengan surah  al-Hasyr ayat 7 yang menyeru “agar harta tidak hanya berlingkar  dikalangan orang-orang berada antara kamu”, maka tidak syak lagi, Bajet  yang baru saya bentangkan ini mendakap segenap taraf sosioekonomi  rakyat. Ia tidak meninggalkan yang berpendapatan rendah, sekalipun  menengah atau tinggi, dan tidak pula meminggir mereka yang di bandar  waima di desa.
120. Pucuk pangkalnya, perjalanan yang telah saya  dan rakan-rakan mulakan semenjak April 2009, kini telah menempuh satu  puncak penanda. Pastinya, sepanjang tempoh 30 bulan yang lalu, saya dan  rakan-rakan telah melakar hala tuju jelas negara dalam pusingan akhir  bagi menempa wawasan kebangsaan.
121. Ia tidak hanya membabitkan  pengukuhan perpaduan nasional berasaskan prinsip meraikan kepelbagaian,  menambahbaik penyampaian sektor awam dengan merundingi rakyat, proses  penstrukturan ekonomi melalui Model Baru Ekonomi dan Program  Transformasi Ekonomi, malah, ia juga menjangkau Program Transformasi  Politik yang akan menjadi saksi menyinsingnya fajar baru Malaysia.
122.  Di mana, perbezaan yang sihat serta membina tidak akan lagi menjadi  punca pertelingkahan tidak berkesudahan. Di mana, tidak ada individu  yang akan dihukum hanya sanya kerana ideologi berbeda. Di mana,  anak-anak muda akan bebas untuk menggilap idealisme mereka di atas bumi  Malaysia ini, demi kemajuan negara.
123. Seyogia diperingatkan  bahawa, perjalanan ini tidak mungkin berjaya tanpa laluan yang telah  diredah denaikan oleh pendahulu-pendahulu saya sebermula Almarhum Tunku  Abdul Rahman diikuti Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun  Hussein, Tun Dr. Mahathir dan Tun Abdullah. Ia tidak mungkin jua  terjelma tanpa kestabilan politik yang dihidupkan oleh perkongsian kuasa  melalui konsep Barisan Nasional yang bitara. Yang lebih utama, ia tidak  mungkin dizahirkan tanpa sokongan padu rakyat.
124.  Sesungguhnya, sokongan besar rakyat amat penting untuk mempastikan  perjalanan kita akan menemui kejayaan yang diimpikan menuju gapura  Malaysia yang maju, makmur sebagai oasis harapan dan kestabilan dalam  lautan dunia yang tidak menentu.
125. Sememangnya lagi, Kerajaan  Barisan Nasional tidak tunduk kepada tekanan atau apa-apa paksaan untuk  mengambil jalan yang benar dan betul demi warga Malaysia. Kami yakin  dengan perjuangan yang kami gandar ini bukannya dibuat-buat atau sebuah  ilusi silap mata sebagai guna menutup lompang keikhlasan dan kebobrokan  syaksiah serta kemunafikan intelektual seperti sesetengah pihak.  Perjuangan kami warisan mulia zaman berzaman meniti generasi.
126.  Perjuangan ini bukan perjuangan sehari, seminggu, sebulan mahupun  setahun. Ia adalah perjuangan berdekad lamanya. Inilah sebuah Bajet di  bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional diilhamkan demi rakyat.  Kepada Allah jua kita berserah.
Tuan Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan.
Klik Untuk Download Belanjawan 2012 Petikan Asal : 
Berita Harian