Saturday, 2 January 2016

Daftar Untuk Membeli Rumah


Peluang untuk membeli rumah mampu milik di pameran hartanah pada 8 - 10 Januari 2016 ini.

Petikan dari Akhbar:
Kuala Lumpur: Pameran Hartanah MyRumah anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) dengan kerjasama Kumpulan Andaman yang julung kali diadakan, dijangka menerima 15,000 pengunjung bagi acara yang berlangsung selama tiga hari.

Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid berkata, pameran itu diadakan bagi memberi peluang kepada pembaca akhbar terbitan NSTP untuk mendapatkan kediaman mampu milik yang ditawarkan pada harga kurang daripada RM500,000.

“Selain menjadi acara yang dapat merapatkan hubungan kami dengan pembaca, ia juga dijangka menjadi platfrom terbaik untuk pembaca khususnya yang baru pertama kali bercadang mendapatkan kediaman,” katanya pada sidang media mengenai acara berkenaan, semalam.

Menurutnya, pihaknya memberi tumpuan kepada segmen kediaman mampu milik memandangkan ia menjadi pilihan utama bakal pembeli kediaman atau mereka yang bergelar pelabur hartanah.

“Kami mengutamakan kediaman mampu milik sebagai sasaran utama pameran ini dan bukan kediaman daripada segmen mewah kerana ia bersesuaian dengan bajet semua peringkat pengguna,” katanya.

Pameran Hartanah MyRumah yang dibuka kepada orang ramai secara percuma akan diadakan pada 8, 9 dan 10 Januari tahun depan bermula dari jam 10 pagi hingga 6 petang di Balai Berita, Bangsar.

Selain pameran daripada 12 peserta pameran yang terdiri daripada pemaju dan bank, ia juga akan memuatkan sesi ceramah berkaitan hartanah meliputi pelbagai topik perbincangan berbeza.

Sementara itu, Pengarah Urusan Andaman Property Management Sdn Bhd, Datuk Seri Vincent Tiew berkata, pameran itu berbeza dengan kebanyakan pameran hartanah yang sering dianjurkan kerana ia lebih mengutamakan aspek pendidikan kepada bakal pembeli.

“Selain menawarkan pelbagai projek kediaman, pameran ini juga memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan pandangan daripada pakar hartanah yang akan berkongsi pengalaman, tips dan strategi dalam menguruskan hartanah masing-masing.

“Kami menampilkan sehingga 20 penceramah daripada latar belakang berbeza yang sedia berkongsi pengalaman mereka dengan pengunjung yang mahu menjadikan kediaman sebagai medium pelaburan jangka panjang,” katanya.

Bagi yang masih belum mempunyai rumah.. jom ke Pameran Hartanah MyRumah

Jangan lupa juga daftar dengan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang ditubuhkan di bawah Akta PR1MA 2012 untuk merancang, membangun, membina dan menawarkan perumahan berkualiti tinggi berkonsepkan gaya hidup moden bagi penduduk bandar berpendapatan sederhana.



Kediaman PR1MA yang terletak di dalam kawasan berkomuniti mempunyai pelbagai jenis dan saiz. Dengan harga antara RM100,000 hingga RM400,000, anda kini mampu memiliki kediaman di lokasi-lokasi yang strategik di seluruh negara. Kediaman PR1MA ditawarkan kepada semua rakyat Malaysia dengan pendapatan isi rumah purata bulanan antara RM2,500 hingga RM10,000.

Jangan lupa juga daftar dengan Skim Rumah Pertamaku (SRP)



- Skim Rumah Pertamaku telah diumumkan dalam Bajet 2011 oleh Kerajaan Malaysia untuk membantu golongan muda yang baru bekerja dan berpendapatan tidak lebih daripada RM5,000 sebulan untuk memiliki rumah pertama mereka.

Skim ini membolehkan golongan muda untuk mendapat pembiayaan sehingga 100% daripada institusi-institusi kewangan untuk membeli rumah pertama mereka tanpa perlu membayar 10% wang pendahuluan. Ini sejajar dengan hasrat Kerajaan untuk meningkatkan pemilikan rumah di kalangan rakyat Malaysia.


No comments:

Post a Comment