Thursday, 2 July 2015

Tanda Rawatan Pencegahan Strok Haba



Bagi Rakyat Malaysia, bersedialah menghadapi cuaca yang lebih panas berikutan monsun barat daya yang sedang melanda negara kita.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Datuk Che Gayah Ismail berkata, musim monsun itu akan membawa cuaca panas dan kering, yang diramalkan berlanjutan hingga September.

Hanya terdapat sedikit hujan, terutama pada awal pagi di kawasan pantai dan kawasan di selatan Selangor. Keadaan cuaca mungkin bertambah buruk serta mengakibatkan jerebu sekiranya terdapat pembakaran terbuka secara berleluasa.

Menurit Datuk Che Gayah Ismail, cuaca panas yang melanda kini bukan berpunca daripada aktiviti gunung berapi di Gunung Sinabung di Sumatra Utara, walaupun abu gunung berapi menuju ke arah tengah Semenanjung Malaysia dengan ketinggiannya ketika melalui Semenanjung adalah lebih 6,000 kaki.

Berdasarkan imej terbaru satelit Pusat Meteorologi Khas ASEAN (AMSC) pula, tiada tompok panas dikesan di Semenanjung Malaysia, tetapi terdapat masing-masing dua di Sabah dan Sarawak.
Semakan dengan Jabatan Alam Sekitar mendapati kesemua 52 kawasan yang dibuat pemantauan kualiti udara di seluruh negara hari ini menunjukkan Indeks Pencemaran Udara berada pada paras baik dan sederhana.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Ashok Philip berkata musim panas sekarang boleh mengakibatkan penyahhidratan sekiranya manusia banyak berpeluh dan tidak minum cukup air.

Katanya, keadaaan itu boleh berlaku walaupun mereka tinggal di tempat teduh, manakala keadaan lebih teruk akan menimpa mereka yang terdedah secara langsung kepada cahaya matahari.

Apabila kadar penyahhidratan meningkat, seseorang yang terjejas akan mula berasa lemah, pening dan tidak menentu atau keliru kerana tekanan darah mula menurun dan suhu tubuh pula meningkat.

Untuk sentiasa berada dalam keadaan sejuk dan bagi mengelak daripada masalah berkaitan haba, minumlah banyak air.


Tanda Awal Strok Haba:
  1. Pitam
  2. Sawan
  3. Dahaga
  4. Berpeluh
  5. Kekejangan
  6. Lemah tumpuan
  7. Tubuh kekejangan
  8. Tekanan darah rendah
  9. Lemah otot-otot badan
  10. Loya, mual dan muntah
  11. Keletihan dan kelesuan
  12. Suhu badan meningkat
  13. Kulit kering dan kemerahan
  14. Pening dan Sakit kepala berdenyut
  15. Kurang berpeluh walaupun dalam suhu panas

Komplikasi Strok Haba:
  1. Penyahhidratan (dehidrasi)
  2. Kekeliruan
  3. Pitam
  4. Bengkak tisu otak
  5. Kerosakan organ badan seperti ginjal, jantung dan hati
  6. Maut

Rawatan:
Rawatan harus dilakukan dalam masa 45 minit selepas mengalami strok haba
  • Bawa mangsa ke tempat teduh, atau
  • Bawa mangsa ke bilik yang sejuk/berhawa dingin, atau
  • Mangsa ditempatkan di bawah kipas
  • Lap anggota badan mangsa menggunakan tuala basah, atau
  • Bawa ke klinik atau hospital berdekatan

Pencegahan Strok Haba :

  • Hadkan aktiviti luar
  • Pakai topi atau payung yang bersaiz besar
  • Minum banyak air
  • Banyak berehat di tempat yang teduh dan sejuk
  • Mandi dengan kerap
  • Berada di tempat terlindung seperti dalam rumah / bangunan
  • Elakkan aktiviti yang terdedah secara langsung kepada cahaya matahari
  • Elak dari memakai pakaian berwarna hitam atau gelap.
  • Pakai pakaian yang ringan, berwarna terang dan longgar.

No comments:

Post a Comment