Wednesday, 12 March 2014

Bomoh turut Cari MH370



Dalam kesibukan Bomba, Polis, Tentera Udara, Tentera Laut, Perisik mencari Kapal Terbang MAS MH370 yang hilang... Bomoh juga turut berusaha mencari kapal terbang yang hilang.



)


PUTRAJAYA - Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memandang serius pembabitan bomoh dalam usaha mencari pesawat MAS yang hilang sejak Sabtu lalu.

"Mohon Jakim memandang serius isu penglibatan bomoh-bomoh dalam mencari MH370 pelbagai versi.

"Ada tikar terbang zam-zam ala kazam, labu, kelapa, teropong, bubu dan sebagainya," katanya dalam akaun Twitternya, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) gempar seketika dengan kemunculan seorang lelaki yang mendakwa sebagai 'Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP' yang kononnya mampu membuat ramalan lokasi pesawat MAS penerbangan MH370 yang dilaporkan hilang.

Terbaru, KLIA lagi sekali digemparkan dengan penyebaran gambar dengan kehadiran sekumpulan tiga lelaki memakai sut lengkap untuk memulakan ritual mengesan pesawat tersebut.




PETALING JAYA: Sehubungan pendedahan seorang bomoh bahawa pesawat MH370 yang hilang kini tergantung di alam ghaib, mantan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini membidas golongan tersebut.

Melalui posting Facebooknya hari ini, bomoh yang mengamalkan amalan khurafat ini boleh mengelirukan golongan bukan Islam mengenai agama itu.

“Tak cukup dengan kehilangan MH370, muncul pula macam-macam bomoh khurafat dengan pelbagai aksi yang memperbodohkan diri sendiri, bahkan juga boleh menimbulkan salah sangka orang ramai terutama non-muslim terhadap Islam,” Mohd Asri berkata.

Beliau turut menegaskan penggunaan ayat suci al-Quran oleh golongan ini tidak bermakna mereka melakukan perkara yang betul.

“Mereka mempergunakan ayat-ayat al-Quran secara salah dan selekeh. Ingatlah bahawa segala yang bodoh dan tahyul itu bukan ajaran Islam,” tambahnya lagi.

Semalam, seorang bomoh bernama Mahaguru Ibrahim Mat Zin mendakwa pesawat MH370 tergantung di atas paras Laut China Selatan berhampiran Vietnam kerana disembunyikan orang bunian.

“Oleh itu, semua rakyat di negara ini tanpa mengira kaum perlu berdoa agar pesawat yang hilang muncul kembali.

“Kita berharap dengan usaha ini, pesawat itu akan muncul dalam masa terdekat selewat-lewatnya minggu ini,” Ibrahim dipetik sebagai berkata dalam Utusan Malaysia hari ini.

Ibrahim turut dilaporkan melakukan ritual tarian mencari pesawat di ruang legar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam dengan menggunakan bubu buluh dan dua teropong buluh.



No comments:

Post a Comment